am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang pelajar kolej vokasional maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 134 Jalan Kuantan – Johor Bahru, dekat Rompin, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa Muhammad Rafiq Haziq, 18 dari Felda Keratong 1, Muadzam Shah di Rompin meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Rompin.
Katanya, berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Yamaha Y125ZR dan Honda City pada 9.40 malam.
“Siasatan awal dapati remaja yang menunggang motosikal itu dari arah Kuala Rompin menuju ke Kuantan, manakala kereta yang dipandu lelaki berusia 20 tahun dari arah Tokong Tua Peh Kong menghala ke Kuala Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki itu dipercayai keluar simpang secara mengejut yang menyebabkan mangsa cuba membrek dan mengelak tetapi disebabkan jarak yang terlalu dekat, motosikal terlanggar bahagian sisi kanan kereta.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal parah sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin, manakala pemandu dan penumpang kereta berusia 18 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




