TELUK INTAN: Seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan maut selepas lehernya terkena sabit yang dibawa seorang lelaki warga asing ketika menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu 4, Selabak di sini hari ini.
Mangsa yang maut adalah pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4, Agroindustri Ternakan Poltri dikenali sebagai Adham Faisal, 18.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher.
Katanya, dalam kejadian itu, rakan mangsa berusia 17 tahun cedera di tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki telah terkena pada bahagian leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berada berhampiran antara satu sama lain di atas jalan.
“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikalnya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian termasuk sebilah sabit berhulu panjang dan sebuah motosikal.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok bagi permohonan reman.
“Siasatan lanjut kes ini dijalankan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN




