hartini@hmetro.com.my
SEORANG pelajar Seni Kulinari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Nur Afiqa Amani Muhd Safwan Sajani, 19, dipilih sebagai penerima World Changer Award daripada Special Education Network & Inclusion Association (SENIA) yang diumumkan secara rasmi di laman sesawang persatuan itu awal Ogos lalu.
Anugerah itu diberikan SENIA iaitu persatuan global khusus dalam bidang pendidikan khas, kepada mereka yang memberi sumbangan terhadap komuniti berkeperluan khas.
Nur Afiqa Amani melancarkan kempen kesedaran kesihatan mental yang dinamakan ‘It’s Okay’ pada awal tahun 2023 untuk membantu pelajar menangani masalah kemurungan dan kebimbangan melampau menggunakan kemahiran sosioemosi.
“Melalui projek ini, syukur saya berjaya membimbing pasukan untuk melaksanakan beberapa aktiviti seperti bengkel pembelajaran sosioemosi, terapi origami, pesta tarian dan kembara alam.
“Projek itu menggunakan konsep visual seperti penggunaan emoji untuk membantu pelajar menyatakan perasaan mereka dan beberapa aktiviti seperti pesta tarian yang berbentuk fizikal dan terapi origami berunsurkan kreativiti bagi membantu menyalurkan emosi mereka,” katanya.
Menurutnya, pendekatan sedemikian turut membantu rakan-rakan pelajar berkeperluan khas dari kolej itu untuk meluahkan dan menyalurkan perasaan mereka dengan tepat serta selesa.
Pada tahun lepas, Nur Afiqa Amani turut dipilih sebagai pembicara jemputan ke Youth Summit di Manila, Filipina, anjuran SEAMEO INNOTECH di mana dia ditaja pihak penganjur untuk membuat perkongsian berkenaan dengan projek itu di sidang kemuncak yang dijalankan secara bersemuka di negara itu.
Projek ini turut menerima dana melalui Amal Fund untuk terus disebar luaskan supaya dapat memberi manfaat kepada komuniti yang lebih luas.
“Saya cukup gembira kerana dianugerahkan dengan pengiktirafan itu. Memandangkan ia juga adalah satu penghargaan bagi kempen kesihatan mental yang dirintis.
“Secara tidak langsung membolehkan projek ini mendapat perhatian orang awam dan pihak-pihak tertentu,” katanya.
Sementara itu, pengarah kolej itu Nordin Akup pula turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Nur Afiqa Amani.
“Diharap supaya projek yang mementingkan perkembangan dan pengurusan keseimbangan rohani, fizikal dan emosi terus dilaksanakan untuk memastikan kemenjadian menyeluruh pelajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




