Kajang: Yayasan Pendidikan Chen Choy & Chin Mooi menghulurkan sumbangan RM34,800 kepada pelajar kurang bernasib baik dari 23 sekolah di Selangor dan Perak.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada pelajar di 20 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah di sekitar Hulu Langat, Semenyih, Cheras, Ijok dan Batu Gajah, Perak.
Pengasas Yayasan Pendidikan Chen Choy & Chin Mooi, Tan Sri Alex Chen berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan terbaik.
“Hanya dengan ilmu dan kemahiran boleh membawa mereka pergi lebih jauh di dalam kehidupan, malah ia dapat diwarisi.
“Lantaran itu, inisiatif ini diadakan kerana kami melihat potensi pada setiap pelajar ini di dalam akademik.
“Walaupun mereka datang daripada keluarga kurang berkemampuan, itu bukannya alasan untuk mereka meremehkan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, setiap tahun, yayasan itu memperuntukkan lebih RM50,000 untuk bantuan akademik, sekali gus membuktikan kesungguhan mereka di dalam memperkasakan pembangunan pendidikan.
Cek sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat MKH Berhad, Christina Chen dalam majlis ringkas yang dihadiri guru dan pengurusan kanan sekolah terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd