Pelajar luah kata kesat terhadap guru disaman polis

Bachok: Pelajar yang tular dengan memakai baju bertulisan kata-kata kesat kepada guru dengan menunggang motosikal tanpa topi keledar disaman polis, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dua pelajar berkenaan dan mengeluarkan saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, antara saman yang dikeluarkan adalah tidak mempunyai lesen memandu, kesalahan nombor pendaftaran dan motosikal tidak dilindungi insurans.

“Kita sudah keluarkan saman kepada pemilik kenderaan yang dinaiki dua pelajar berkenaan pada pagi tadi selepas berjaya mengesan mereka.

“Saya nasihatkan patuhi undang-undang dan hormati guru,” katanya ketika ditemui dalam operasi sekatan jalan raya di Kampung Badak, di sini, hari ini.

Terdahulu, dua pelajar itu dan pemilik motosikal terbabit turut dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan atas kesalahan tidak memakai topi keledar.

Dua pelajar itu tular selepas dilihat memakai pakaian seragam sekolah dengan menconteng kata-kata kesat terhadap guru.

Ketika kejadian itu, mereka dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menjalani peperiksaan.

Berita berkaitan

  • Pelajar carut guru mohon maaf
  • Scroll to Top