Pelajar Malaysia di Jordan dalam keadaan selamat, kedutaan terus pantau situasi – Duta Besar

Pelajar Malaysia di Jordan dalam keadaan selamat, kedutaan terus pantau situasi – Duta Besar

Kuala Lumpur: Pelajar Malaysia di Jordan berada dalam keadaan baik dan selamat di tengah-tengah perkembangan konflik di Asia Barat terus menjadi tumpuan, kata Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman.

Beliau berkata, sehingga 15 Mac, seramai 1,898 pelajar Malaysia telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

“Sejak meletusnya konflik pada 28 Februari, pihak kedutaan telah membantu seramai 41 orang pelajar Malaysia, iaitu 39 yang menuntut di Jordan dan dua orang yang menuntut di Syria, sama ada untuk kembali ke Malaysia kerana telah menamatkan pengajian mahupun pulang ke Jordan untuk meneruskan kuliah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam maklum balas bertulis kepada dihubungi Bernama mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia di Jordan.

Menurut Mohamad Nasri situasi semasa di Jordan kekal tenang, aman dan stabil walaupun terdapat beberapa insiden pintasan terhadap peluru berpandu Iran oleh Angkatan Tentera Jordan.

“Pada masa ini, semua pejabat kerajaan, premis perniagaan, taska, sekolah, universiti dan aktiviti harian masyarakat berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan,” katanya.

Beliau berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia juga beroperasi seperti biasa tanpa sebarang masalah bagi semua penerbangan masuk dan keluar dari negara itu.

Dalam pada itu, Mohamad Nasri berkata, pihak kedutaan sentiasa memantau dan menganalisis perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia di negara berkenaan.

Menurut beliau, pihak kedutaan turut mengadakan beberapa pertemuan dengan pelajar Malaysia di beberapa kawasan termasuk Amman, Mafraq, Irbid dan Mutah bagi melihat perkembangan mereka serta memberikan nasihat berkaitan keselamatan dan hal ehwal konsular.

Pada 9 Mac lalu, Mohamad Nasri bersama pegawai-pegawai kedutaan turut mengadakan pertemuan dengan sebahagian pelajar Malaysia di ibu negara Jordan, Amman bagi mendapatkan perkembangan terkini kumpulan itu.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan taklimat mengenai perkembangan semasa di rantau berkenaan selain memberikan nasihat keselamatan serta penerangan mengenai bantuan konsular yang boleh disalurkan kepada pelajar Malaysia.

Pelajar juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri, peka terhadap persekitaran serta mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan tempatan.

Mereka turut dinasihatkan untuk menyemak jadual penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara tidak dijangka seperti pembatalan atau penundaan penerbangan serta risiko terkandas di negara ketiga.

Dalam kesempatan yang sama, pihak kedutaan turut berbuka puasa bersama para pelajar serta menunaikan solat berjemaah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top