am@hmetro.com.my
Jerantut: Remaja berusia 14 tahun yang maut dalam kemalangan Kilometer 8 Jalan Jerantut-Kuala Tembeling, hari ini sedang dalam perjalanan melawat abang sulungnya.
Aimy Nur Batrisyia Ahmad Sobri, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan, Chenor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.
Menurut bapa saudaranya, Ahmad Sharif Husin, 30, berkata, Aimy bersama empat ahli keluarga dari Felda Jengka 14 untuk ke Kuala Lipis bagi melawat abangnya berusia 16 tahun yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lipis.
“Saya difahamkan selepas melawat abang sulungnya, mangsa akan terus dihantar pulang ke asrama sekolahnya di Chenor,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, jenazah anak saudaranya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Simpang Tebing Tinggi, Jerantut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, kemalangan berlaku apabila SUV dinaiki remaja berkenaan bertembung dengan lori sawit dipandu lelaki berusia 35 tahun.
Katanya, mangsa terkorban manakala bapanya berusia 44 tahun, ibu, 41; dan dua adik berusia 10 dan dua tahun cedera.
“Kemalangan dipercayai berpunca apabila lori dari arah Kuala Tembeling hilang kawalan ketika menuruni selekoh berbukit dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kenderaan dinaiki lima sekeluarga itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd