Pelajar MRSM dibuli senior, 5 suspek ditahan

Pelajar MRSM dibuli senior, 5 suspek ditahan

am@hmetro.com.my

Besut: Seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di daerah ini cedera di perut, rusuk dan belakang badan selepas mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior dalam kejadian di asrama putera, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.48 petang, semalam.

“Berdasarkan keterangan mangsa lelaki yang berusia 14 tahun, dia dibuli dengan diarahkan untuk membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit kira-kira jam 11.30 malam Selasa lalu.

“Mangsa juga mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga ketika di asrama putera sekolah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, kejadian itu disedari oleh warden yang bertugas dan kemudian membawa mangsa serta suspek ke pejabat warden.

“Warden turut menghubungi penjaga mangsa untuk membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar hingga mengganggu siasatan polis.

“Setakat ini, lima suspek sudah dikenal pasti dan permohonan perintah reman akan dibuat esok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top