Pelajar pijak al-Quran: KPT arah ambil tindakan ikut peraturan universiti

Pelajar pijak al-Quran: KPT arah ambil tindakan ikut peraturan universiti

BACHOK: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan tindakan keatas pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memijak al-Quran diambil mengikut peraturan universiti.

Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia penting bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat adil, berhemah dan tidak dipengaruhi emosi, sekali gus mengelakkan konflik lebih besar dalam kalangan masyarakat.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan polis dan sebarang keputusan lanjut perlu dibuat selepas proses siasatan selesai.

“Pihak universiti mempunyai mekanisme serta peruntukan tatatertib yang jelas dalam menangani salah laku pelajar dan tindakan sewajarnya akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan serta kerangka perundangan yang ada,” katanya selepas diminta mengulas tindakan pelajar UMPSA memijak al-Quran baru-baru ini.

Beliau sebelum itu hadir ke program Kembara Ramadan dan Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kelantan @ Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok hari ini.

Zambry memberitahu, kerajaan menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam perbuatan menghina agama sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Katanya, universiti sebagai gedung ilmu sepatutnya menjadi medan menyuburkan semangat saling hormat-menghormati antara pelajar pelbagai kaum dan agama.

“Tindakan menghina mana-mana agama akan menimbulkan kemarahan, lebih-lebih lagi jika melibatkan kitab suci seperti al-Quran bagi umat Islam.

“Begitu juga jika ia berlaku terhadap agama-agama lain, ia tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.

Zambry mengingatkan bahawa isu melibatkan agama dan perkauman atau 3R (agama, kaum dan institusi diraja) tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana berpotensi mencetuskan konflik lebih besar dalam masyarakat.

“Dalam konteks universiti dan juga masyarakat umum, kes-kes seperti ini mesti ditangani dengan hikmah dan bijaksana demi memelihara keamanan serta kestabilan negara,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang pelajar lelaki yang memijak al-Quran di Kuantan, Pahang bakal berdepan dua pertuduhan termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di mahkamah esok.

Pertuduhan itu membabitkan Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana mencemarkan objek yang dianggap suci iaitu al-Quran dengan memijaknya dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).-UTUSAN

Scroll to Top