PASIR MAS: Seramai 34 pelajar dan murid sekolah yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas melakukan aktiviti rentas sempadan dengan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.
Kesemua pelajar dan murid-murid dari sekolah menengah dan dua sekolah rendah termasuk sekolah agama yang masing-masing berusia tujuh hingga 16 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
Wakil kepada salah seorang keluarga pelajar itu memberitahu, kesemua ibu bapa boleh membawa pulang anak masing-masing selepas menurunkan tandatangan pada borang yang diberikan oleh pihak polis.
Katanya, setakat ini, pelajar dan murid dibebaskan secara berperingkat.
“Kami juga dimaklumkan bahawa anak-anak tidak perlu dibawa ke mahkamah esok,” ujarnya.
Sebahagian ibu bapa yang menunggu anak-anak mereka yang ditahan di IPD Pasir Mas malam ini.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah hari ini selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka di sini.
Kesemua pelajar dan murid berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan pukul 6.30 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua warganegara Malaysia itu menetap di Selatan Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang.
Katannya, siasatan mendapati, kesemua mereka termasuk 12 orang perempuan dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.-UTUSAN




