Di Aceh Barat, Indonesia, seorang pelajar sekolah pondok dikenakan hukuman botak kepala dan disiram air cili gara-gara kantoi merokok.
Pelaku yang merupakan isteri kepada pengetua sekolah pondok itu dipercayai melakukan penganiayaan tersebut untuk memberi pengajaran.
Namun, tindakannya mengundang padah apabila keluarga melaporkan kepada pihak polis. Menerusi video yang tular di media sosial, pelajar itu dilihat meraung menahan ‘kepanasan’ air cili.
Seorang perempuan yang merupakan neneknya berusaha untuk menenangkan pelajar itu dengan memandikannya dengan sabun.
Namun, panas langsung tidak berkurang menyebabkan pelajar itu melompat ke dalam kolah untuk berendam.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Aceh Barat, Inspektor Fachmi Suciandy mengesahkan suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Suspek berkata, mangsa telah melanggar peraturan asrama iaitu merokok. Namun hukuman seperti itu adalah satu bentuk penganiayaan dan boleh dikenakan hukuman jika terbukti bersalah.





