Pelajari Bahasa Mandarin dapat kenali budaya masyarakat Cina

KUANTAN – Inisiatif Universiti Malaysia Pahang (UMP)  menawarkan kursus bahasa asing seperti bahasa Mandarin kepada para penuntutnya dilihat dapat meningkatkan semngat perpaduan di samping memenuhi keperluan semasa.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli berkata, budaya tradisi masyarakat Cina boleh dihayati lebih berkesan dengan menguasai Bahasa Mandarin.

“UMP sebagai sebuah universiti teknikal  penguasaan pengetahuan dalam bidang teknikal sahaja tidak mencukupi. Penganjuran kursus bahasa Mandarin dan kemahiran ini mendapat sambutan dari industri dan sosial tempatan selain daripada penuntut,” katanya.

Jelasnya, Bahasa Mandarin kini merupakan antara bahasa yang popular digunakan di dunia malah turut menjadi medium komunikasi peringkat antarabangsa.

“Pembelajaran dan penguasaan bahasa Mandarin bukan semata-mata untuk berkomunikasi malah untuk memahami kebudayaan Cina.

“Penguasaan bahasa asing akan meningkatkan nilai dan kelebihan seseorang seterusnya mampu bersaing dalam pasaran global,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina tahun 2023, UMP juga menganjurkan program Chinese New Year Cultural 2023 dalam mengukuhkan persahabatan dan silaturrahim dalam kalangan semua etnik di Malaysia.

Pelbagai aktiviti turut dianjurkan antaranya kaligrafi Cina, seni gunting kertas, persembahan muzik traditional Cina, pemakaian pakaian tradisional dan demostrasi penyediaan ladu (dumpling) dan sepak bulu ayam. – MalaysiaGazette