Pelakon Along Eyzendy meninggal dunia

Pelakon Along Eyzendy meninggal dunia

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Along Eyzendy, 47, meninggal dunia sekitar jam 12.16 pagi ini selepas tiga hari mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang.

Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz mula dimasukkan ke wad pada Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk berpanjangan sebelum doktor mengesyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedunya.

Berita sedih ini dimaklumkan oleh pelakon dan pengarah, Raja Azrey yang sempat menziarah Along bersama rakan artis, petang tadi.

“Dari jam 1 tengahari hingga 6 petang saya bersama rakan-rakan artis melawat arwah di hospital Saya sempat ucapkan kata-kata untuk arwah dan saya lihat mata arwah menangis,” katanya.

Raja Azrey berkata, mereka pernah terbabit dalam sebuah projek teater bersama pada Disember lalu di Melaka.

“Sebelum arwah jatuh sakit, saya memang ada projek teater Persidangan Hantu dengan arwah pada bulan Disember di Melaka.

“Menjelang persembahan, arwah sudah menunjukkan tanda-tanda sakit dan pernah dimasukkan ke hospital, tetapi arwah sorokkan keadaan sebenar kerana tidak mahu menyusahkan kawan-kawan,” katanya.

Menurutnya lagi, punca penyakit Allahyarham adalah berkaitan masalah hempedu.

“Arwah sakit hempedu. Selepas habis persembahan, arwah terus ke hospital dan doktor memberikan antibiotik untuk membantu rawatan,” katanya lagi.

Azrey turut berkata, Allahyarham pernah berhasrat untuk membuat tuntutan PERKESO bagi meneruskan rawatan.

Difahamkan jenazah mungkin akan dikebumikan di Pasir Gudang, Johor.

Bagaimanapun usaha pihak media untuk menghubungi isterinya, Hamidah Mohd Yatim untuk mendapatkan keterangan lanjut setakat ini belum berjaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top