Pelakon tampan jadi mangsa sindiket penipuan

Pelakon tampan jadi mangsa sindiket penipuan

Beijing: Pelakon China yang dilaporkan hilang berhampiran sempadan Thailand-Myanmar sebelum berjaya ditemukan, baru-baru ini, dipercayai diperdaya skim penipuan pekerjaan.

Bloomberg melaporkan, Wang Xing, juga dikenali sebagai Xingxing ditemukan pihak berkuasa Myanmar pada 6 Januari lalu, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 7 Januari.

Wang hilang pada 4 Januari dari Mae Sot, sebuah bandar Thai yang bersempadan dengan Myanmar, selepas dia tiba di negara itu untuk penggambaran televisyen, menurut media China.

Laporan kehilangan Wang mencetuskan perbincangan meluas di platform media sosial China dengan beberapa pengguna membuat spekulasi dia mungkin diculik untuk bekerja di pusat penipuan di Myanmar.

Teman wanita Wang mendakwa, pelakon itu menaiki kenderaan dari Bangkok sebelum terputus hubungan di bandar sempadan.

Polis Thailand sedang menyiasat sama ada Wang adalah mangsa pemerdagangan manusia dan siasatan awal menunjukkan dia ke sempadan secara sukarela.

Tiada pembabitan mana-mana warga Thailand dan Wang mungkin menjadi mangsa penipuan warga China, kata Jeneral Polis Tatchai Pitaneelaboot.

Pegawai Thailand berhati-hati dengan kesan episod itu terhadap pengembara China, kumpulan terbesar pelawat ke Thailand.

Ketibaan pelancong China masih belum kembali ke tahap pra-Covid-19, walaupun pasaran pelancong lain mengatasi tahap 2019.

Menteri Pelancongan Thailand Sorawong berkata, Kerajaan Thailand akan berusaha untuk membina semula keyakinan dalam kalangan pelancong.

Katanya, beliau meminta bantuan duta China untuk menghilangkan persepsi Thailand tidak selamat untuk pelancong China.

“Polis Thailand akan menyiasat sama ada Wang tiba di Thailand untuk bekerja atau ditipu sejak awal,” katanya.

Operasi penipuan siber bernilai bilion dolar semakin berkembang di Asia Tenggara terutama di Laos, Kemboja dan Myanmar, menurut data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah.

Ramai yang bekerja dalam operasi penipuan di rantau ini juga menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top