Pelakon wanita dan suami direman kes tipu pelaburan lembu

Pelakon wanita dan suami direman kes tipu pelaburan lembu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon wanita dan suaminya yang ditahan semula oleh polis, direman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pasangan itu masing-masing direman bermula hari ini.

“Suspek lelaki direman selama tiga sehingga Rabu ini, manakala wanita itu pula direman sehari untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.

Hari ini media melaporkan, pelakon wanita dan suaminya ditahan semula oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, kedua-duanya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, pelakon wanita dan suami yang ditahan bagi kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia turut disiasat bagi kes penipuan darjah kebesaran membabitkan kerugian kira-kira RM23,000.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim dilaporkan berkata, polis daerah itu menerima satu laporan berkenaan kes itu pada 18 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, Harian Metro turut melaporkan pelakon itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Rabu lalu.

Azahar dilaporkan berkata, ia susulan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis selepas dikatakan ditipu dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor dengan kerugian mencecah RM1.5 juta.

Terdahulu, seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang pelakon wanita bersama suaminya membabitkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top