Pelaksanaan dijangka ditunda ke suku keempat 2025

Pelaksanaan dijangka  ditunda ke suku keempat 2025

MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke suku keempat 2025 berikutan isu-isu yang masih belum diselesaikan seperti kelayakan dan mekanisme pelaksanaan.

Bank pelaburan itu berkata, potensi penangguhan itu ke separuh kedua tahun 2025 dijangka memberi kelegaan sementara kepada pengguna, sekali gus menyokong perbelanjaan swasta dalam persekitaran inflasi yang stabil.

“Walaupun Kementerian Kewangan menyasarkan pelancaran pada separuh kedua 2025, kami menjangkakan pelaksanaan mungkin diteruskan ke suku keempat 2025 disebabkan isu yang tidak dapat diselesaikan seperti kelayakan dan mekanisme pelaksanaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2025.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan akan meneruskan proses rasionalisasi subsidi namun fokus utama pada masa ini adalah untuk mengenal pasti kumpulan yang layak menerima subsidi tersebut.

Dalam pada itu, MIDF Amanah turut menjangkakan pengguna tidak akan mengalami tekanan harga yang ketara melalui mekanisme pelepasan.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu memberi amaran bahawa tekanan inflasi mungkin timbul pada penghujung tahun, dipacu oleh kemungkinan peningkatan tekanan harga akibat rasionalisasi subsidi serta peningkatan kos utiliti bagi perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top