Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti secara berperingkat bermula 1 Ogos ini.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua kementerian, inisiatif yang dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025] di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu dimulakan sejak 1 Mei lepas.
Kenyataan itu memaklumkan pendekatan penguatkuasaan pendidikan telah dilaksanakan sepanjang tempoh tiga bulan pertama yang berakhir pada 31 Julai lepas.
“Sepanjang tempoh tersebut, 842 fasiliti terdiri daripada klinik perubatan, klinik pergigian dan hospital swasta serta farmasi komuniti diperiksa dan majoriti telah melaksanakan inisiatif ini dengan 57 peratus peratus daripadanya mematuhi keperluan pemaparan harga ubat yang memuaskan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, penguatkuasaan akan diteruskan secara berperingkat sejak 1 Ogos dengan pendekatan pendidikan melalui lawatan pemeriksaan serta advokasi selama dua bulan hingga 30 Sept dan surat peringatan boleh dikeluarkan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Kenyataan itu memaklumkan bermula 1 Oktober ini, kompaun boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang berulang sebelum penguatkuasaan penuh pada 1 Jan 2026.
KKM dan KPDN juga mengambil maklum semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan mewakili pengamal perubatan dan pergigian serta seorang pengamal perubatan swasta berkaitan keabsahan Perintah P.U.(A) 141/2025.
“Namun begitu sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada perintah mahkamah yang mengarahkan penangguhan pelaksanaan atau penguatkuasaan perintah ini.
“Justeru, Perintah P.U.(A) 141/2025 kekal sah dan berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
KKM dan KPDN turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan inisiatif itu secara inklusif, berfasa dan berhemah bagi memastikan manfaatnya dinikmati pengguna selain menyumbang kepada peningkatan ketelusan, akauntabiliti serta kepercayaan dalam sistem kesihatan negara.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd