mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan sistem pesanan Internet perlu dilihat secara menyeluruh khususnya aspek keselamatan untuk masyarakat serta negara bukan tujuan kepentingan politik.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perkara itu perlu difahami kerana politik tidak boleh disamakan dengan konteks keselamatan negara.
“Ia bukanlah perlu dilihat dari tujuan kepentingan politik kerana politik keseragaman atau keadilan politik serta kestabilan politik juga salah satu yang boleh mencerminkan keselamatan negara.
“Namun perlu ada satu bentuk semak imbang bagi memastikan perkara di luar kepentingan politik dijaga kerajaan khususnya bagi kepentingan masyarakat dan pengguna.
“Penting berlakunya semak imbang dalam perkembangan maklumat di mana setiap perkara diajukan, maklumat serta perbincangan perlu ada satu regulasi untuk kawal selia kerana kita tidak mahu berlaku satu fenomena yang boleh mewujudkan keresahan masyarakat dan mengancam keselamatan negara,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas segelintir dakwaan mengenai tindakan kerajaan melaksanakan kerangka kawal selia perkhidmatan media sosial dan sistem pesanan mulai 1 Januari tahun depan bertujuan menyekat media sosial dijadikan alat kritik kerajaan seperti yang Pakatan Harapan (PH) gunakan ketika menjadi pembangkang.
Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, keputusan kerajaan itu adalah satu pembaharuan yang diperlukan selaras dengan kemajuan teknologi.
“Penting untuk melihat ini dari perspektif lebih besar kerana ia menjadi antara perkara yang perlu dilakukan kerajaan untuk memastikan elemen perhubungan dalam media sosial lebih selamat dan kondusif bagi mengelak perkara berkaitan jenayah subversif dan perkara yang boleh digunakan untuk lakukan aktiviti terancang atau menjejaskan keselamatan masyarakat dan negara khususnya kanak-kanak atau kaum tertentu sehingga boleh menggugat keharmonian dan perpaduan.
“Langkah ini juga bertepatan dengan kuasa di negara besar seperti dilakukan Kesatuan Eropah (EU) yang mewujudkan akta berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan tidak berlaku perkara yang boleh mengganggu gugat keselamatan, elemen pengguna, disinformasi dan sebagainya.
“Ini membuktikan negara maju dan yang mempunyai kebebasan bersuara juga telah mula wujudkan regulasi tertentu dan akta kawal selia ke atas platform kerana kebimbangan terhadap penggunaan media sosial khusunya AI yang boleh mewujudkan keadaan menipu dan kecelaruan identiti serta menimbulkan perkara bersifat salah laku jenayah.
“Maka itu regulasi dan kawal selia perlu terus dibina untuk pastikan platform media sosial dan pesanan internet serta perkara berkaitan dengan apa bentuk komunikasi yang akan wujud pada masa depan terus diberi penekanan bagi menjamin keselamatan negara dan masyarakat secara sepenuhnya,” katanya.
Katanya, usaha berkenaan juga memerlukan kerjasama strategik semua pihak meletakkan kepentingan keselamatan awam dan negara dalam apa jua pembaharuan polisi serta perundangan dalam negara.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan tetap akan meneruskan pelaksanaan kerangka kawal selia berkenaan mulai tahun depan mengikut perancangan asal.
Katanya, kerajaan berpendirian platform media sosial dan pesanan Internet perlu dikenakan kerangka kawal selia untuk menjamin internet lebih selamat bagi rakyat Malaysia terutama kanak-kanak serta keluarga.
Sebelum itu, Gabungan Internet Asia (AIC) memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan pelesenan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
AIC menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.
AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab mendakwa, langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.
Bagaimanapun, anggota gabungan itu, Grab menerusi kenyataannya memaklumkan pihaknya tidak terbabit dalam perihal surat terbuka AIC kepada Anwar pada Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




