khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan waktu pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 oleh Kerajaan Madani dianjakkan ‘sedikit’.
Beliau berkata, kerajaan kini sedang memperhalusi rasionalisasi RON95 disebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu pelaksanaannya dan dasar lain mendatangkan kesan negatif kepada rakyat.
“Sedang diperhalusi. Penelitian itulah yang menganjakkan sedikit garis masa (rasionalisasi subsidi RON95),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025.
Amir Hamzah berkata, Kementerian Kewangan akan meneruskan proses pelaksanaan rasionalisasi RON95, namun pada ketika ini fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.
Mengulas lanjut, Fahmi turut mengambil contoh pelaksanaan beberapa dasar sebelum ini seperti subsidi diesel dan ikhtiar lain yang dilaksanakan kerajaan memerlukan penelitian dari segi mekanisme penyalurannya serta tidak mempunyai kesan negatif kepada rakyat.
“Kalau kita lihat dalam isu peluasan skop SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) juga, ada beberapa perkara yang telah diteliti setelah diumumkan, maka beberapa penyesuaian dilaksana.
“Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana tetapi telah dibayangkan atau disebut sebelum ini mengenai RON95,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd