am@hmetro.com.my
Kuching: Sarawak melancarkan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 yang menjadi dokumen panduan untuk menyelaraskan usaha merentas sektor untuk membangunkan ekonomi hijau Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pelan hala tuju strategik itu juga menjadi perintis kepada negeri lain untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon.
Beliau berkata, ia menggariskan visi jangka panjang Sarawak dan strategi praktikal merentas tiga teras teras iaitu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran, penjagaan alam sekitar serta komuniti sihat, berdaya tahan dan inklusif.
“Dokumen komprehensif itu direka dengan teliti berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk peralihan secara serius Sarawak kepada ekonomi hijau.
“Ia berfungsi sebagai dokumen panduan untuk menyelaraskan usaha merentas sektor dengan matlamat pembangunan hijau Sarawak,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Karbon Asia (ACC) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pelan induk itu dirancang dengan teliti dan dibina dengan 10 teras strategik, 48 strategi terperinci dan 111 pelan tindakan.
“Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 merangkumi setiap aspek agenda kemampanan yang direka untuk menyatu padukan prinsip hijau ke dalam struktur masyarakat dan ekonomi kita.
“Ia menggariskan komitmen Sarawak untuk mempercepatkan peralihan tenaga boleh diperbaharui, memajukan penangkapan dan penyimpanan karbon,” katanya.
Menurutnya lagi, Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 juga bermatlamat untuk meningkatkan pemuliharaan hutan dan tanah, menggalakkan industri dan pelaburan hijau, membina bandar mampan dan membangunkan tenaga kerja sedia masa depan melalui pendidikan, kemahiran dan penyelidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd