Pelan mula dirangka sejak awal tahun

Pelan mula dirangka sejak awal tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak terburu-buru merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan baru-baru ini, sebaliknya mula dirangka secara berperingkat sejak awal tahun lagi.

Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata PPN antara sebahagian daripada semua pelan termasuk pakej rangsangan yang diatur kerajaan sejak awal tahun.

“Sebenarnya semua elemen berkaitan pelan pemulihan ini mula dirangka dan diatur sejak awal tahun serta ada kaitan antara satu pakej dengan pakej lain.

“Begitu juga dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini, rakyat tidak nampak apa hala tujunya.

“Kerajaan juga sebenarnya sudah menyusun aspek utama untuk semua faham, iaitu bagaimana kita mahu bergerak dari situasi sekarang ke situasi yang banyak sektor dapat dibuka kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Pelan Pemulihan Negara: Kelangsungan Sektor Ekonomi’ yang disiarkan secara langsung di Bernama TV, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Johan berkata, tidak adil untuk menyatakan pelan pemulihan itu dirangka secara terburu-buru kerana apa yang menjadi isu ialah mungkin segala pelan atau pakej yang dibuat kerajaan tidak disatukan dalam satu dokumen.

“Ini bagi membantu rakyat dan sektor swasta memahami logik di belakang apa yang sudah dibuat oleh kerajaan selama ini,” katanya.

Ditanya mengapa PKP 3.0 yang dilaksanakan adalah longgar sehingga banyak sektor dibenar untuk beroperasi, Johan berkata, semua negara apabila melaksanakan sekatan pergerakan penuh masih memastikan sektor ekonomi perlu untuk terus berjalan.

“Yang pentingnya adalah untuk kehidupan rakyat. Sekurang-kurangnya keperluan makan dan minum rakyat tidak terjejas kerana itu sektor pertanian yang mempunyai 1.8 juta pekerja dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Begitu juga keperluan utiliti dan telekomunikasi masih perlu dibenarkan beroperasi untuk memastikan kelangsungan kehidupan seharian,” katanya.

Namun pada masa sama, beliau berkata, terdapat beberapa sektor yang strategik kepada ekonomi negara yang mana jika ditutup akan membawa kemudaratan jangka panjang.

“Ini seperti sektor eksport utama termasuk minyak dan gas atau elektronik yang mana sektor elektronik di Malaysia telah berintegrasi dengan rantaian pembekalan dunia.

“Ini bermaksud, komputer di Amerika Syarikat bergantung kepada cip yang dibuat di Malaysia.

“Isunya jika sektor ini ditutup, bukan sahaja akan menggugat penghasilan komputer atau peralatan perubatan di hospital di seluruh dunia.

“Tetapi ia juga menjejaskan masa depan Malaysia dari segi potensi kehilangan pelanggan yang beralih ke negara lain. Ia akan mengambil masa panjang untuk mendapatkan semula pelanggan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top