Pelan Rekalibrasi PATI dilanjutkan hingga 31 Disember

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun lalu bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan pelan itu sehingga 31 Disember ini atau hingga PICK selesai.

“Sehingga 1 Julai lalu, seramai 248,083 PATI sudah mendaftar untuk menyertai Pelan Rekalibrasi PATI.

“Daripada jumlah itu, seramai 97,892 PATI mendaftar untuk pulang ke negara asal melalui Program Rekalibrasi Pulang, manakala 149,889 PATI mendaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, selain itu, mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju memperluas pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI ke Sabah dan Sarawak, namun ia tertakluk kepada persetujuan kerajaan kedua-dua negeri terbabit.

“Semua PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai program-program ditawarkan di bawah Pelan Rekalibrasi PATI ini adalah sangat dialu-alukan.

“Mereka boleh berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja yang berkaitan. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman webwww.imi.gov.my,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd