Kuala Lumpur : Jenama telekung terkemuka, Siti Khadijah (SK), terus mencatat perkembangan positif menerusi pembukaan butik ke-60 di Bangsar.
Ia secara tidak langsung memperkenalkan ruang flagship eksklusif yang menjadi identiti baharu jenama itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn Bhd, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, ia menampilkan konsep ‘The Home of Siti Khadijah’ yang menggabungkan warisan, inovasi dan nilai kerohanian sekali gus menjadi asas kewujudan SK.
Menurut beliau, ia turut menempatkan Galeri Pelawat Mini Siti Khadijah, galeri kedua selepas Laman Khadijah di Nilai.
“Melalui penceritaan eksklusif dan paparan kronologi perjalanan jenama, pelanggan dibawa lebih dekat mengenali kisah di sebalik penghasilan telekung kami.
“Ada kelainan di sini kerana ia butik yang ke-60 dan mempunyai nombor yang istimewa bagi kami selepas 16 tahun. Selama ini kita banyak buka di pusat beli-belah, tetapi kali ini kita perlukan butik bersaiz besar kerana perancangannya bukan sekadar menjual barang malah menjadi pusat komuniti.
“Kita mahu pelanggan datang bukan hanya membeli, tetapi turut menghadiri sesi perkongsian kerohanian, memahami jenama dengan lebih mendalam dan mengalami pengalaman ‘experiential shopping’,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.
Mengulas mengenai keadaan pasaran yang semakin kompetitif, Munzir memaklumkan pihaknya sentiasa menilai semula penawaran produk dan melaksanakan pelarasan strategik, termasuk memperkukuh jualan dalam talian semasa pandemik.
“Model perniagaan perlu betul. Harga mesti tepat supaya kita ada kapasiti berkembang secara organik. Kita bukan mahu berkembang secara mendadak, tetapi melalui maraton jangka panjang,” ujarnya.
Pada majlis itu SK turut melancarkan tiga koleksi telekung baharu seperti Flair Dityaa, Broderie Safiye dan Broderie Rania SE.
Setiap koleksi mengekalkan DNA utama SK iaitu telekung yang menenangkan, selesa dan berkualiti tinggi, sesuai untuk wanita moden yang menitikberatkan kesempurnaan ibadah.
Mini runway turut diadakan, mempersembahkan rangkaian eksklusif seperti Noah Top dan Elira Lines Outerwear, meluaskan lagi pilihan gaya hidup di bawah jenama SK.
Sebagai tanda penghargaan, 100 pengunjung terawal berpeluang menerima hadiah percuma. SK turut menawarkan diskaun 20 peratus untuk pembelian produk terpilih di luar promosi, merangkumi koleksi lelaki, wanita dan kanak-kanak.
SK turut mengumumkan pembukaan dua lagi butik baharu pada Disember ini, masing-masing di Sunway Pyramid dan Kangar Mall, diikuti sebuah butik istimewa di The Exchange 118 tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




