Pelancaran misi Axiom-4 tangguh lagi buat kali ketiga

Pelancaran misi Axiom-4 tangguh lagi buat kali ketiga

New Delhi: Cuaca buruk menyebabkan pelancaran misi Axiom-4 yang menyaksikan angkasawan India, Kapten Kumpulan, Shubhanshu Shukla ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), sekali lagi ditangguhkan dan ini adalah penangguhan kali ketiga.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (Isro) dalam kenyataan semalam mengesahkan, pelancaran terpaksa ditunda berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di kawasan pelancaran, lapor India Today.

Syarikat SpaceX pula menjelaskan, angin kencang di laluan adalah menjadi punca utama penangguhan dan tarikh baharu ditetapkan jam 5.30 petang (waktu India), pada 11 Jun.

Misi Axiom-4 bukan sekadar pelancaran biasa, ia adalah detik bersejarah bagi India, yang kembali ke arena penerbangan angkasa selepas lebih 40 tahun sejak pencapaian Rakesh Sharma pada 1984.

Ia menggabungkan kerjasama antara empat negara iaitu India, Amerika Syarikat (AS), Poland dan Hungary serta membabitkan empat agensi utama iaitu Axiom Space, Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa), SpaceX dan Isro.

Shubhanshu Shukla, juruterbang berpengalaman Tentera Udara India dan kini angkasawan Isro, akan bertindak sebagai juruterbang misi, bersama bekas angkasawan Nasa, Peggy Whitson sebagai komander misi, serta dua pakar misi dari Hungary dan Poland.

Menurut Pengerusi Isro, Dr V Narayanan, pelancaran yang asalnya dijadual pada 29 Mei lalu, terlebih dahulu ditangguh ke 8 Jun, kemudian ke 10 Jun kerana isu teknikal, sebelum terkini dianjak ke 11 Jun.

Keempat-empat angkasawan itu akan menaiki kapsul SpaceX Dragon baharu yang dilancarkan menggunakan roket Falcon 9 dari Kompleks Pelancaran 39A di Pusat Angkasa Kennedy, Florida.

Mereka dijadual menghabiskan sehingga 14 hari di ISS, menjalankan pelbagai eksperimen sains termasuk penyelidikan mikrograviti, sains hayat dan sains bahan.

Sebahagian besar kajian diterajui oleh penyelidik dari India dengan kerjasama lebih 30 negara lain.

Penangguhan mungkin tampak kecil, namun ia mencerminkan betapa rumitnya misi angkasa dan pentingnya faktor cuaca dalam setiap pelancaran.

Kini, jutaan rakyat India dan pemerhati angkasa dari seluruh dunia terus menanti dengan penuh debar menjelang pelancaran rasmi Axiom-4 yang bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah angkasa lepas negara India.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top