SINGAPURA – Seorang pelancong dari Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen selepas membuat kenyataan bahawa makanan di Malaysia lebih sedap dan jauh lebih murah berbanding di Singapura.
Brent Farris, dalam hantaran di kumpulan Facebook Malaysia Travel Tips pada 25 Jun lalu mendakwa Malaysia menawarkan kepelbagaian makanan yang sama seperti Singapura, namun dengan harga hanya satu pertiga dan rasanya pula “lebih sedap”.
“Kalau anda tersinggung, saya minta maaf awal-awal. Tapi sebenarnya, saya tak menyesal pun,” tulisnya dalam nada bergurau.
Farris turut menyentuh isu durian, buah yang menjadi ikon di rantau ini, sambil menyindir Singapura dan Thailand.
Menurutnya, Malaysia adalah “asal usul” durian dan menghasilkan durian terbaik di dunia.
Beliau turut mempersoalkan status durian sebagai simbol kebangsaan Singapura sedangkan negara itu tidak pun menanam buah berkenaan.

Farris menunjukkan durian isi merah yang dinikmatinya berhampiran puncak Gunung Kinabalu, Sabah. Agensi
“Sekarang saya dah luahkan. Rasa macam beban terangkat. Dah lama saya nak cakap perkara ni,” tambahnya.
Ramai netizen setuju, termasuk warga Singapura
Kenyataan Farris itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk sokongan daripada warganet Singapura sendiri.
“Saya tolak untuk melancong ke Singapura. Semua ada di Malaysia pada harga satu pertiga,” tulis seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi menyifatkan pandangan Farris bukanlah kontroversi, sebaliknya hanyalah “fakta yang tidak boleh disangkal”.
Seorang pengguna lain pula menyindir bahawa ketika melawat Orchard Road di Singapura, mereka tidak nampak sebatang pokok buah pun, apatah lagi pokok durian.
Ketika berada di Malaysia, beliau dilaporkan memburu pelbagai jenis durian di beberapa lokasi.
Dalam satu hantaran pada 30 Jun, beliau berkongsi pengalamannya menikmati durian isi merah berhampiran puncak Gunung Kinabalu, Sabah.
Beliau juga menyebut pernah makan durian “terlalu banyak” ketika berada di Mantin, Negeri Sembilan.
Selepas sudah pulang ke AS, Farris menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke Malaysia hujung tahun ini.
“Saya akan kembali ke Malaysia musim luruh nanti, kecuali kalau saya timbulkan kontroversi lagi dengan jiran kita di Singapura,” selorohnya. – Agensi