Pelancong China lemas di Pulau Perhentian

Pelancong China lemas di Pulau Perhentian

am@hmetro.com.my

Besut: Seorang pelancong wanita warga China maut akibat lemas ketika mandi di Pulau Perhentian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1.45 petang.

Katanya, mangsa bersama seorang sepupunya datang ke negara ini dan menginap di sebuah hotel di pulau berkenaan sejak 3 Jun lalu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 33 tahun keluar ke tepi pantai bersama sepupunya kira-kira jam 11 pagi.

“Mangsa kemudian berenang seorang diri dan tidak kembali semula ke tepi pantai.

“Sepupu mangsa mula mencari mangsa selepas 30 minit kemudian dan mendapati mangsa dijumpai terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berbatu oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke tepi pantai oleh orang awam sebelum menghubungi pihak polis.

“Hasil bedah siasatan dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan mati lemas serta tiada sebarang unsur jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi diminta

lebih berhati-hati serta memastikan keselamatan diri serta keluarga ketika menjalani sebarang aktiviti.

“Langkah keselamatan hendaklah diambil untuk mengelakkan dari berlakunya perkara tidak diingini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top