Pelancong dikurung, dirogol selama tiga hari ketika menginap di inap desa

Pelancong dikurung, dirogol selama tiga hari ketika menginap di inap desa
Pelancong dikurung, dirogol selama tiga hari ketika menginap di inap desa

Seorang wanita AS didakwa menjadi mangsa rogol ketika menginap di sebuah inap desa di negeri Karnataka, India.

NEW DELHI – Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) didakwa menjadi mangsa rogol ketika menginap di sebuah inap desa di negeri Karnataka, selatan India, dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelancong asing di negara itu.

Menurut laporan media tempatan, mangsa yang berasal dari Washington berada di sebuah inap desa di perkampungan Kutta sebelum mendakwa telah diberi minuman dicampur bahan memabukkan, sebelum diserang secara seksual.

Polis India memaklumkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan, masing-masing seorang tukang masak yang dipercayai pelaku utama serta pemilik inap desa berkenaan.

Dalam perkembangan mengejutkan, pemilik itu turut disyaki memutuskan akses WiFi mangsa selama tiga hari dipercayai bagi menghalangnya daripada mendapatkan bantuan atau melaporkan kejadian tersebut.

Seorang pegawai penyiasat berkata, siasatan awal mendapati terdapat bukti bahawa pemilik premis cuba mengehadkan komunikasi mangsa, dan peranannya dalam insiden itu masih disiasat.

Mangsa dilaporkan berjaya meninggalkan lokasi selepas tiga hari menjadi mangsa serangan seksual.

Selepas kejadian, wanita itu segera menghubungi Kedutaan AS yang kemudian menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Mangsa turut menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Mysuru.

Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut, manakala kedua-dua suspek telah direman sehingga 3 Mei ini bagi membantu proses perundangan. -Agensi

Scroll to Top