Pelancong Israel berang diskriminasi rumah tetamu Jepun

Pelancong Israel berang diskriminasi rumah tetamu Jepun
Rumah tetamu itu menyatakan bahawa dasar tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan pengunjungnya. - Foto Agensi

Rumah tetamu itu menyatakan bahawa dasar tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan pengunjungnya. – Foto Agensi

KYOTO – Seorang pelancong Israel terkejut apabila diminta menandatangani borang pengisytiharan tidak terlibat dalam jenayah perang ketika mendaftar masuk ke sebuah rumah tetamu di Kyoto, Jepun.

Insiden yang berlaku pada April lalu itu mendorong Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen, mengemukakan bantahan rasmi kepada Gabenor Kyoto dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai diskriminasi serta melanggar undang-undang perhotelan Jepun.

Menurut The Japan Times, pelancong terbabit diminta menandatangani borang berkenaan selepas menyerahkan pasport kepada pengurus rumah tetamu Wind Villa, yang dilaporkan telah melaksanakan dasar tersebut sejak enam bulan lalu.

Wakil premis menjelaskan bahawa borang itu hanya diberikan kepada individu yang pernah berkhidmat dalam organisasi ketenteraan atau paramilitari dalam tempoh 10 tahun, membabitkan beberapa negara seperti Israel, Myanmar, Palestin, Rusia dan Sudan.

Mereka mendakwa dasar tersebut bertujuan menjaga kesejahteraan tetamu serta kakitangan memandangkan rumah inap kecil seperti mereka mempunyai banyak ruang perkongsian.

Pelancong yang dimaksudkan dilaporkan pernah berkhidmat sebagai petugas perubatan dalam Tentera Laut Israel. Namun begitu, pihak rumah tetamu menegaskan bahawa mereka tidak pernah menolak kemasukan mana-mana tetamu yang enggan menandatangani borang tersebut.

Susulan aduan yang dikemukakan, pihak berkuasa tempatan mengarahkan rumah tetamu berkenaan menghentikan serta-merta amalan itu walaupun siasatan mendapati tiada pelanggaran undang-undang secara teknikal.

Duta Israel menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap rakyat Israel dan menggesa pihak berkuasa Jepun untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang demi mengekalkan imej mesra pelancong di Kyoto. – Agensi

Scroll to Top