BEIJING: Tumpahan minyak di Laut Kuning dikesan dari sebuah kapal tangki Liberia, yang berkemungkinan akan mengakibatkan kerosakan alam sekitar dan mengganggu terminal minyak mentah terbesar China.
Kapal tangki Suezmax, A Symphony, yang mempunyai kapasiti membawa sejuta tong minyak dilanggar sebuah kapal induk betul-betul di luar pelabuhan Qingdao.
Pengurusan teknikal kapal, Goodwood Ship Management, berkata pelanggaran itu menyebabkan tumpahan minyak di laut.
Agensi maritim China pula memberi amaran kepada kapal berdekatan untuk berada sekurang-kurangnya 10 18.5 kilometer daripada kawasan itu.
Ketika ini, kesemua kru kapal itu juga sudah diselamatkan dan tiada kecederaan dilaporkan malah pakar tempatan juga dikerahkan ke lokasi tumpahan dan kerja-kerja pembersihan dimulakan.
Difahamkan, tumpahan minyak itu mungkin menjejaskan operasi di pelabuhan Qingdao di wilayah Shandong, yang menjadi terminal minyak terbesar.
Ini kerana, tumpahan minyak biasanya mengambil masa berminggu atau berbulan untuk dibersihkan dan ia mungkin akan merosakkan ekosistem kawasan, termasuklah hidupan yang bergantung kepada laut.
Bagaimanapun, tumpahan itu berada dalam status tindakan kecemasan sahaja dan masih belum dalam peringkat penilaian pencemaran, kata Pentadbiran Keselamatan Maritim.
Kapal terbabit difahamkan menuju ke pelabuhan Qingdoa berdasarkan data perjalanan kapal yang diperoleh Blomberg dan sebelum ke China, ia difahamkan berlabuh di Sungai Linggi, Malaysia, lokasi terkenal bagi pemindahan minyak dari kapal ke kapal.
Aktiviti pemindahan itu biasanya bertujuan untuk mengaburkan asal usul minyak yang dibawa. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd