Pelantar tanda arah suar jadi transit dadah seludup

Pelantar tanda arah suar jadi transit dadah seludup

am@hmetro.com.my

Kangar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis membongkar taktik sindiket penyeludupan dadah menjadikan pelantar tanda arah suar di perairan berdekatan sempadan maritim Malaysia-Thailand di Kuala Perlis sebagai transit membawa masuk dadah dari negara jiran.

Ini selepas mereka merampas empat guni seberat 30 kilogram (kg) berisi bunga ganja bernilai lebih RM2.94 juta yang diletakkan di pelantar tanda arah suar baru-baru ini.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, anggota kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis membuat pemeriksaan di kawasan pelantar tanda arah suar yang menjadi perairan pintu masuk ke Kuala Perlis dari negara jiran pada jam 1 pagi 7 Ogos lalu.

Katanya, empat guni yang ditinggalkan ditemukan di atas pelantar tanda arah suar pada kedudukan 1.5 kilomter (km) dari kawasan Pantai Kuala Perlis dan dua kilometer dari sempadan maritim Malaysia-Thailand itu.

“Pemeriksaan rapi terhadap guni itu mendapati 146 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki bunga ganja,” katanya kepada pemberita di Pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, di sini hari ini

Katanya, pihaknya percaya ini adalah taktik terbaru sindiket penyeludupan dadah dari negara jiran menggunakan pelantar tanda arah suar itu sebagai transit untuk membawa masuk dadah itu ke negara ini.

“Kita percaya bekalan bunga ganja itu ditinggalkan atas pelantar itu satu jam sebelum pemeriksaan dilakukan dan kita percaya bekalan ganja itu akan diambil oleh sindiket dari negara ini menggunakan bot.

“Bekalan dadah itu dipercayai untuk dipasarkan sekitar negeri utara semenanjung Malaysia dan Lembah Klang.

“Bunga ganja ini mempunyai harga yang sangat lumayan kerana mampu mencecah RM93,000 sekilogram dan ganja yang dirampas mampu digunakan 65,000 penagih dadah,” katanya.

Ismail berkata, pelantar tanda arah suar adalah kawasan penting yang digunakan sebagai panduan navigasi bot atau kapal namun kini ia dicerobohi sindiket penyeludupan dadah sempadan Malaysia-Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 kali sebatan.

Sepanjang 6 dan 7 Ogos lalu, JKDM Perlis berjaya melakukan rampasan membabitkan kes rokok seludup dan dadah dengan nilai sebanyak RM2,954,820 serta taksiran cukai sebanyak RM34,086.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top