Pelantikan bekas tentera Israel di TikTok, Malaysia hantar bantahan

Pelantikan bekas tentera Israel di TikTok, Malaysia hantar bantahan

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendedahkan beliau sudah menghantar bantahan rasmi kepada Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew susulan laporan mengenai pelantikan bekas anggota tentera Israel (IDF) sebagai pengurus bahagian ucapan kebencian untuk syarikat itu di New York, Amerika Syarikat (AS).

Fahmi berkata, tindakan syarikat media sosial itu jelas tidak boleh diterima kerana melantik individu yang pernah melatih tentera rejim Zionis sedangkan IDF terbukti terbabit dalam jenayah perang terhadap rakyat Palestin.

“Saya hantar mesej terus kepada CEO TikTok menyatakan bantahan tegas terhadap langkah ini. Saya katakan kepadanya, mengapa perlu melantik seseorang yang pernah melatih tentera Israel ke dalam organisasi yang kononnya mahu memerangi antisemitisme?

“Saya tidak boleh terima. Tidak wajar sebuah syarikat besar bersekongkol dengan IDF yang jelas terbabit dalam genosid,” katanya dalam ucapan perasmian Gaza Time Tunnel teknologi realiti maya (VR) sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia merangkap Pengarah Konvoi Sumud Nusantara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Mengulas jawapan balas yang diterimanya daripada TikTok, Fahmi berkata, Shou beri alasan bahawa pelantikan itu berlaku di New York dan tidak ada kaitan dengan rantau Asia.

“Bagi saya, alasan itu tidak masuk akal kerana ia tetap memberi kesan kepada integriti syarikat dan dasar kandungan mereka,” katanya.

Selepas majlis perasmian Gaza Time Tunnel teknologi realiti maya (VR) itu, ketika ditemui media Fahmi menjelaskan kerajaan Malaysia sedang memantau rapat perkembangan terutama selepas dimaklumkan TikTok kini sedang mengurangkan jumlah pekerja moderator kandungan dan mahu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).

“Saya risau apabila moderator dibuang dan AI dijadikan sandaran, tidak mustahil kandungan pro-Zionis akan mula meresap dalam algoritma TikTok.

“Itu sebabnya saya sudah ambil langkah awal menghubungi CEO mereka dan awal September ini kita akan adakan pertemuan rasmi bersama pihak TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak menolak mengambil tindakan tegas termasuk sekatan terhadap TikTok sekiranya terbukti ada pengaruh Zionis dalam pengurusan kandungan platform itu.

“Kita mula dengan perbincangan dahulu tetapi jika perlu, tindakan tegas akan diambil kerana TikTok dilesenkan di Malaysia,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang tindakan akan dibuat secara rasional kerana kerajaan sedar jutaan rakyat Malaysia menggunakan TikTok untuk berniaga dan berkarya.

Portal The Jerusalem Post sebelum ini melaporkan TikTok melantik Erica Mindel, seorang bekas anggota IDF dan penyokong tegar Zionis sebagai Public Policy Manager, Hate Speech sejak Julai lalu.

Laporan itu memetik, Mindel ditugaskan merangka strategi jangka panjang dasar ucapan kebencian, memantau kandungan atas talian serta menjadi pakar rujuk antisemitisme dalam pertemuan dalaman dan luaran.

Dilaporkan, Mindel sebelum ini bekerja dengan Jabatan Negara AS ketika pentadbiran Joe Biden serta American Jewish Committee (AJC) dalam program advokasi pro-Israel.

Perlantikan itu menimbulkan kebimbangan kerana TikTok sebelum ini dikritik gagal mengurus kandungan antisemitisme, malah dituduh membantu melonjakkan sentimen berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top