am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Koordinasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan kepemimpinan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang baharu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi Malaysia momentum diperlukan untuk menukar aspirasi kepada impak.
Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata beliau mengalu-alukan kehadiran Johari dan Timbalannya, Sim Tze Tzin menerajui kementerian berkenaan.
Tidak lama selepas pelantikan, Johari dan Tze Tzin mengadakan lawatan sulung ke ibu pejabat MIDA di sini, semalam, sekali gus menegaskan penekanan kepemimpinan baharu terhadap pelaksanaan dan penyampaian.
Lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyampaian pelaburan melalui pembuatan keputusan berasaskan data serta pencapaian hasil ekonomi yang nyata demi manfaat rakyat.
“Dengan hala tuju yang jelas serta komitmen bersama terhadap pelaksanaan, MIDA akan membantu memastikan setiap pelaburan yang direalisasikan memperkukuhkan rakyat, industri dan masa depan negara.
“Dunia sedang berusaha dengan pantas dan MIDA bersedia untuk bangkit menyahut cabaran bagi menyokong aspirasi pelaburan dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim, turut mengalu-alukan gabungan pandangan korporat dan kepakaran teknikal Johari serta Tze Tzin, dengan pengalaman Tengku Zafrul.
Dalam menerajui rangka kerja pelaburan berimpak tinggi, beliau yakin gemblengan pengalaman tiga sosok itu akan mengukuhkan momentum pada tahun hadapan dan seterusnya.
“Melalui penyelarasan rapat antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta MIDA, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus meningkatkan reputasinya sebagai destinasi pilihan pelabur global dan domestik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




