aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelari dari Itali, Joseph Delunas mencuri tumpuan apabila muncul peserta pertama menamatkan acara Harian Metro Active Run yang berlangsung meriah di Dataran Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.
Pelajar antarabangsa di Universiti Malaya (UM) itu menamatkan larian sejauh 5 kilometer (km) dengan catatan masa 18 minit 50 saat (s), catatan terbaik peribadinya dalam jarak itu.
“Saya sangat terkejut dan gembira kerana tidak menyangka menjadi peserta pertama tiba di garisan penamat.
“Pada satu ketika, saya sedar tidak ramai di depan saya, jadi saya cuba pecut dan akhirnya berjaya. Walaupun penat, saya sangat gembira,” katanya yang berasal dari Itali.
Delunas bagaimanapun bersaing sengit dengan David Sinuwang yang mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Joseph, yang kini menuntut di Malaysia untuk tempoh setahun berkata dia mengetahui mengenai penganjuran Harian Metro Active Run menerusi kumpulan WhatsApp universiti dan tertarik untuk menyertainya.
“Saya tahu mengenai acara ini daripada kumpulan universiti saya. Mereka kongsi dalam WhatsApp dan saya fikir, kenapa tidak cuba? Saya gembira menyertai kerana penganjuran sangat baik dan suasana amat menyeronokkan.
“Ia juga satu persiapan terbaik buat saya kerana saya merancang menyertai acara Bangkok Maraton selepas ini untuk jarak 42km.
“Saya tak sabar nak berlari di Bangkok kerana ini maraton penuh pertama saya. Sasaran saya bawah 3 jam 30 minit, tapi yang penting saya mahu nikmati pengalaman itu,” katanya.
Kemenangan Joseph bukan sekadar mengagumkan peserta tempatan, malah membuktikan semangat kesukanan melangkaui sempadan apabila pelari antarabangsa turut sama menyemarakkan acara anjuran Harian Metro yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari seluruh negara dan luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




