Pelari maraton tertua meninggal dunia

Pelari maraton tertua meninggal dunia

Punjab: Fauja Singh, yang dianggap sebagai individu tertua dan pertama berusia seratus tahun menamatkan maraton penuh, meninggal dunia pada usia 114 tahun selepas dilanggar kenderaan berhampiran kampungnya di Punjab, India, lapor media.

Fauja, yang mendakwa dilahirkan pada tahun 1911, menamatkan Maraton Waterfront Toronto pada tahun 2011, ketika berusia 100 tahun.

Beliau mencatatkan masa terbaiknya dalam maraton penuh pada acara sama pada tahun 2003, menamatkan perlumbaan dalam tempoh lima jam dan 40 minit.

Beliau tidak dimasukkan ke dalam Guinness Book of World Records kerana kekurangan sijil kelahiran, memandangkan rekod kelahiran tidak disimpan di India pada tahun 1911, lapor media pada tahun 2011.

“Tornado Berserban’ saya sudah tiada,” tulis penulis biografi Fauja, Khushwant Singh di X.

“Beliau dilanggar oleh sebuah kenderaan tidak dikenali sekitar jam 3.30 petang hari ini di kampungnya, Bias, ketika melintas jalan. Bersemadilah dengan aman, Fauja sayangku.”

Usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti kenderaan yang melarikan diri dari tempat kejadian, kata polis kepada media tempatan.

Seorang pelari amatur ketika muda, Fauja kemudian menetap di London, tempat beliau mula berlari secara kompetitif pada usia 89 tahun.

Beliau berlari beberapa maraton penuh dan juga bertanding dalam perlumbaan 10 kilometer sebelum bersara pada tahun 2013.

“Beliau adalah atlet yang luar biasa dengan keazaman yang menakjubkan. Sedih dengan pemergiannya. Ingatan saya bersama keluarga beliau dan peminat yang tidak terkira di seluruh dunia,” tulis Perdana Menteri India Narendra Modi di X.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top