'Pelayaran ujian' Chikyu

'Pelayaran ujian' Chikyu

Tokyo: Mulai Januari depan, Jepun cuba mengekstrak mineral nadir bumi dari dasar lautan dalam percubaan terdalam seumpamanya, kata pengarah program inovasi kerajaan negara itu pada awal bulan ini.

Awal minggu ini, negara itu berjanji untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), India dan Australia bagi memastikan bekalan mineral kritikal yang stabil, apabila kebimbangan semakin meningkat terhadap penguasaan China dalam sumber yang penting kepada teknologi baharu.

Nadir bumi – 17 logam yang sukar diekstrak daripada kerak bumi – digunakan dalam segala-galanya daripada kenderaan elektrik hingga pemacu keras, turbin angin dan peluru berpandu.

China menyumbang hampir dua pertiga daripada pengeluaran perlombongan nadir bumi, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa.

Sebuah bot penggerudian saintifik laut dalam Jepun yang dipanggil Chikyu dijangka mulai beroperasi Januari depan, menjalankan ‘pelayaran ujian’ untuk mendapatkan semula sedimen dasar lautan yang mengandungi unsur nadir bumi, kata Pengarah Program Promosi Inovasi Strategik Rentas, Shoichi Ishii.

“Ujian untuk mendapatkan semula sedimen dari kedalaman air 5,500 meter (m) adalah pertama di dunia,” katanya kepada AFP.

“Matlamat kami, pelayaran ini adalah untuk menguji fungsi semua peralatan perlombongan. Jadi jumlah sedimen yang diekstrak tidak penting sama sekali,” tambah Ishii.

Chikyu akan menggerudi di perairan ekonomi Jepun iaitu di sekitar pulau terpencil Minami Torishima di Pasifik – titik paling timur Jepun, juga digunakan sebagai pangkalan tentera.

Nikkei Jepun melaporkan bahawa misi itu bertujuan untuk mengeluarkan 35 tan lumpur dari dasar laut selama tiga minggu.

Setiap tan dijangka mengandungi sekitar 2 kilogram (kg) mineral nadir bumi, yang sering digunakan untuk membuat magnet yang penting dalam elektronik moden.

Perlombongan laut dalam menjadi titik kilat geopolitik, dengan kebimbangan semakin meningkat terhadap desakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mempercepatkan amalan itu di perairan antarabangsa.

Beijing sejak April mensyaratkan lesen untuk eksport nadir bumi dari China, satu langkah yang dilihat sebagai tindakan balas terhadap sekatan AS terhadap import barangan China.

Aktivis alam sekitar pula memberi amaran bahawa perlombongan laut dalam mengancam ekosistem marin dan akan mengganggu dasar laut.

Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa, yang mempunyai bidang kuasa ke atas dasar lautan di luar perairan negara, akan bermesyuarat akhir bulan ini untuk membincangkan kod global untuk mengawal selia perlombongan di laut dalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top