amir_hamid@mediaprima.com.my
Hobi ditakrifkan sebagai aktiviti kegemaran yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela pada masa lapang.
Secara umumnya, hobi bukanlah sekadar pengisi waktu senggang, malah ia manifestasi personaliti dan minat mendalam seseorang terhadap sesuatu bidang.
Dalam arus pemodenan yang serba pantas ini, memiliki hobi yang sihat adalah satu keperluan bagi memastikan keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan kehidupan peribadi.
Kehidupan manusia hari ini sering kali dibelenggu dengan tekanan kerja dan rutin harian yang memenatkan.
Oleh itu, hobi berperanan sebagai mekanisme pelepasan tekanan yang sangat berkesan.
Apabila seseorang melakukan aktiviti yang disukai, otak akan merembeskan hormon endorfin yang memberikan perasaan gembira dan tenang.
Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kemurungan dan kegelisahan yang sering melanda masyarakat bandar.
Selain daripada aspek emosi, hobi juga wadah terbaik untuk merangsang kreativiti dan daya pemikiran.
Aktiviti seperti melukis, menulis, atau bermain alat muzik memerlukan tumpuan dan imaginasi yang tinggi.
Proses ini membantu seseorang untuk berfikir di luar kotak dan meneroka potensi diri yang mungkin tidak dapat dizahirkan di tempat kerja.
Kreativiti yang diasah melalui hobi sering kali membawa kepada inovasi dalam aspek kehidupan yang lain.
Daripada perspektif kesihatan fizikal, hobi yang membabitkan aktiviti luar seperti mendaki, berenang atau berkebun memberikan impak yang sangat positif.
Aktiviti ini membantu meningkatkan kecergasan badan, menguatkan sistem imun, dan memperbaiki peredaran darah.
Tubuh yang cergas akan menghasilkan minda yang cerdas, sekali gus membolehkan seseorang itu menjadi lebih produktif dalam menjalankan tugasan harian mereka.
Hobi juga berfungsi sebagai jambatan untuk membina hubungan sosial yang lebih luas.
Melalui hobi yang sama, seseorang dapat bertemu dengan komuniti yang mempunyai minat yang serupa, sama ada secara bersemuka mahupun melalui platform digital.
Perkongsian idea dan pengalaman dalam kumpulan hobi ini dapat memupuk semangat setiakawan dan toleransi antara individu yang datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
Bagi golongan muda, hobi adalah medium yang sangat efektif untuk membina disiplin dan jati diri.
Contoh, hobi dalam bidang sukan memerlukan latihan yang konsisten dan pematuhan kepada peraturan.
Nilai-nilai murni seperti kesabaran, kegigihan dan semangat tidak mudah mengaku kalah akan terpupuk secara semula jadi melalui penglibatan aktif dalam hobi itu.
Hal ini secara tidak langsung membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri mereka.
Membaca satu daripada hobi yang paling klasik, namun tetap relevan sepanjang zaman.
Dengan membaca, jendela ilmu akan terbuka luas dan membolehkan seseorang itu mengembara ke seluruh dunia hanya melalui helaian kertas.
Hobi ini bukan sahaja menambah kosa kata dan memperbaiki gaya bahasa, malah ia memberikan perspektif baharu terhadap isu-isu global yang berlaku di sekeliling kita.
Selain itu, hobi berkebun semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, terutamanya semasa tempoh pandemik.
Aktiviti dengan tanah dan menjaga tumbuh-tumbuhan memberikan kepuasan yang sukar digambarkan apabila melihat hasil tanaman berbunga atau berbuah.
Selain memberikan bekalan makanan yang organik dan segar, berkebun juga mengajar kita tentang erti kesabaran dan menghargai alam sekitar.
Dalam era digital ini, hobi berkaitan teknologi seperti fotografi dan suntingan video juga semakin popular.
Hobi ini membolehkan seseorang merakam momen indah dalam kehidupan dan mengabadikannya dalam bentuk visual yang kreatif.
Penguasaan kemahiran teknikal dalam hobi ini juga boleh menjadi aset yang berharga dalam pasaran kerja masa kini yang sangat mementingkan kemahiran multimedia.
Seterusnya, hobi mengumpul koleksi tertentu seperti setem, syiling lama atau figura aksi mempunyai nilai nostalgianya yang tersendiri. Aktiviti mencari dan menyusun barangan koleksi ini memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Bagi sesetengah individu, kepuasan memiliki barangan yang jarang ditemui adalah satu pencapaian yang membanggakan, malah ada kalanya barangan itu mempunyai nilai pelaburan yang tinggi pada masa hadapan.
Menariknya, hobi juga berpotensi untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan yang lumayan.
Ramai individu yang bermula dengan sekadar hobi seperti membakar kek, menjahit atau membuat kraf tangan akhirnya berjaya membina empayar perniagaan sendiri.
Apabila hobi bertukar menjadi kerjaya, kerja yang dilakukan tidak lagi dirasakan sebagai satu bebanan kerana ia dilakukan dengan penuh minat dan kasih sayang.
Sebagai kesimpulan, hobi bukanlah satu pembaziran masa, tetapi pelaburan yang bijak untuk kesejahteraan diri.
Dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, sememangnya memerlukan ruang untuk bernafas dan hobi boleh menyediakan ruang itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




