am@hmetro.com.my
Bandar Baharu: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menjalankan siasatan kemungkinan pelepasan sisa air ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Kerian disyaki menjadi punca kematian kira-kira 5,000 ikan talapia baru-baru ini.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pasukan penyiasat JAS Kedah sudah pun melakukan pemeriksaan di sepanjang sungai berkenaan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Menurutnya, siasatan dijalankan selama tiga hari bermula sejak Sabtu lalu hingga semalam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat beberapa punca air pelepasan dari ladang sawit yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Terdapat beberapa punca air ladang kelapa sawit yang memasuki Sungai Samagagah, Perak dan seterusnya ke Sungai Kerian yang kemudiannya mengalir masuk ke negeri Kedah.
“Air yang dilepaskan adalah dari parit takungan air larian di kawasan ladang kelapa sawit dan berkemungkinan bercampur dengan sisa baja dan sisa racun yang mana apabila takungan itu sampai pada paras tertentu, ia akan dipam secara manual ke Sungai Kerian, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, ujian kualiti air yang dilakukan JAS Kedah di lokasi pelepasan itu juga mendapati ia bersifat asidik.
Katanya, hasil siasatan ini dipanjangkan ke agensi berkaitan kawal selia air, perikanan dan perladangan di negeri yang untuk tindakan lanjut.
“Isu air pelepasan dari parit takungan di ladang kelapa sawit atau dari mana-mana ladang pertanian yang lain ke sungai perlu diberi perhatian secara kolektif bagi memastikan ekosistem sungai tidak terjejas.
“Setakat ini, JAS Kedah sudah menerima aduan berhubung kematian ikan sangkar di lokasi kejadian baru-baru ini.
“Kejadian yang sama pernah berlaku pada November tahun lalu apabila pengusaha mendakwa mengalami kerugian mencecah kira-kira RM10,000 apabila dianggarkan 5,000 ternakan mati dalam kejadian itu, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



