lizamridzuan@hmetro.com.my
SEKALI pandang, reka bentuknya seakan-akan kenderaan prestasi Jerman, namun sebaik melihat dengan lebih jelas ia adalah kenderaan elektrik (EV) GWM Ora 7 yang dilancarkan ke pasaran Malaysia awal tahun ini.
Ia ditawarkan menerusi dua varian iaitu Long Range seperti yang dipandu uji Vroom ini selain Performance dan membezakan kedua-duanya ialah jarak perbatuan serta prestasi.
Juga dikenali sebagai Lighting Cat atau Grand Cat, bentuknya seakan-akan penyatuan dua jenama dalam satu dan tampil elegan serta pada masa sama ciri sporty dengan garis lengkung beralun dari arah hadapan sehingga ke belakang untuk elemen aerodinamik yang baik.
Elemen lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED bujur dan sama pada belakang seakan-akan bentuk logo jenama ini dan spoiler aktif pada bahagian belakang yang akan berfungsi pada kelajuan boleh ditetapkan antara elemen prestasi ditawarkan padanya.
Tampil lebih eksklusif dengan rekaan pintu tanpa bingkai, pembuka pintu terlindung, bumbung gaya coupe serta padanan rim aloi bersaiz 18 inci menyerlahkan gaya moden dan retro pada kenderaan ini secara keseluruhan.
Menjengah ke dalam kabin ia dilengkapi bumbung kaca panorama penuh dan rekaan papan pemuka elemen melintang yang ringkas juga terdapat bentuk trio bulat pada meter digital bersaiz 10.25 inci itu.
Ia juga dengan paparan meter head-up yang dipancarkan pada cermin hadapan untuk pemandu lebih fokus pada pemanduan untuk melihat kelajuan dan larasan lain tanpa perlu mengalih perhatian pada skrin lain.
Cuma jika ingin tambah lebih unik, sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci itu dengan keterhubungan Android Auto dan Apple CarPlay haruslah berbentuk bujur atau serta corong pendingin hawa dengan garis lurus melintang seakan-akan kontra terhadap konsep bujur yang diketengahkan.
Konsol tengah dengan bentuk T dengan butang pendingin hawa, bahagian perehat lengan dan ruang storan untuk keselesaan tambahan pemandu dan model Ora 7 ini didatangkan dengan sistem 11 pembesar suara jenama Harman Infinity untuk bunyi lebih berkualiti.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan adalah ‘pemenang’ dalam kabin ini kerana ia didatangkan dengan fungsi urutan pada bahagian belakang dan pinggang yang sememangnya memberikan kesegaran selepas lesu terutama untuk perjalanan jauh.
Permaidani pada kenderaan ini juga bukan yang biasa, ia disertakan bagaikan dengan material lembut seperti ruang tamu mewah dan sekiranya tanpa kasut akan dapat dirasakan kelembutan itu.
Memandu model EV ini juga memberikan pengalaman unik kerana setiap kali ia dihidupkan atau dimatikan akan ada bunyi kucing mengiau yang adakalanya tampil kelakar adalah sisi unik pada model ini.
Untuk model Ora 7 kedua-duanya dikuasakan dengan bateri 83.5-kWj nickel manganese cobalt (NMC) dan Long Range dengan jarak perbatuan sehingga 640 kilometer (km) (NEDC) untuk 201 kuasa kuda (hp) dan tork 340Nm serta kelajuan maksimum mencecah 170km/j menerusi elektrik motor pacuan roda hadapan.
Penulis memandunya di lebuh raya dan ternyata kuasa yang dialirkan terutama ketika memecut tidak dapat ditandingi oleh kenderan pembakaran dalaman (ICE) cuma pengendaliannya pada roda stereng sedikit ringan dirasakan dan perlu mengawalnya dengan lebih fokus terutama pada laluan selekoh tajam.
Ia didatangkan dengan suspensi hadapan MacPherson Strut dan belakang dengan multi-link untuk keselesaan dan kestabilan maksimun dengan sistem brek cakera hadapan dan belakang.
Sistem pengecasan pula menyokong aliran ulang-alik (AC) Type 2 dan 11kW dan aliran terus (DC) dengan CCS pada 88Kw selain itu ia juga dengan ciri vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3kW untuk menyalurkan kuasa pada alatan elektronik yang lain.
Secara keseluruhannya model Ora 7 ini menampilkan gaya tersendiri dalam penawaran EV di Malaysia dan untuk mereka yang mementingkan jarak ini adalah antara yang mungkin sesuai dengan jiwa anda.
Namun terdapat elemen ‘unik’ kucing padanya dilihat mahu menambah nilai pada pemanduan dan keseluruhan penumpang untuk perjalanan lebih menarik.
Ia juga dengan lima mod pemanduan iaitu Normal, Well Being, Sport, Eco dan Individual bagi disesuaikan dengan corak pemanduan.
Ia juga dengan pilihan warna luaran iaitu kelabu, ungu dan putih dengan pilihan warna ruang dalaman hitam dan coklat (opsyen).
Ciri keselamatan dengan 6 beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan, Sistem Pemantauan Titik Buta, Sistem Brek Autonomi, Amaran Perlanggaran dan Isofix antara yang tersedia.
Untuk pasaran Malaysia ia model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari China ditawarkan pada harga RM169,800 (Long Range) dan RM189,800 (Performance).
© New Straits Times Press (M) Bhd




