Peluang diiktiraf

Peluang diiktiraf

norhayati_nordin@hmetro.com.my

PEMBABITAN pelakon, Andy Teh, 39, dalam filem aksi popular dan terlaris di Malaysia, Blood Brothers: Bara Naga yang ditayangkan April lalu membawa impak besar dalam kerjaya lakonannya.

Watak antagonis sebagai Pablo dalam karya arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu turut membuat dia disayangi ramai terutama ahli kelab peminatnya, Andystarian.

Bertemu Andy pada majlis sidang media pertama Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34), pemuda ini mengakui teruja dengan pengumuman kategori Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.

“Dengan adanya kategori baharu ini (Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik) diperkenalkan, saya percaya ia dapat menyuntik semangat kepada pelakon aksi lagak ngeri yang sering terdedah dengan babak bahaya.

“Walaupun saya sendiri sudah memilki pengalaman lebih 10 tahun sebagai pelakon lagak ngeri namun ketika melakukan babak bahaya tetap kena hati-hati dan peka pada keselamatan diri.

“Aksi lagak ngeri bukanlah perkara yang boleh diambil mudah. Jadi, apabila FFM34 mengumumkan ada kategori baharu, Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik memang saya seronok,” katanya.

Menurut Andy, dia turut mempunyai impian agar namanya dapat dicalonkan dalam kategori itu, tetapi menyerahkan semuanya pada ketentuan rezeki Tuhan buatnya.

“Sebagai pelakon yang bermula dengan buat ‘stunt’, saya gembira apabila Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching umumkan ada kategori Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik itu.

“Mana tahu juga, mungkin saya ada peluang untuk dicalonkan dan harapnya rezeki itu ada. Apatah lagi, sebelum ini saya pernah luahkan mengenai pasukan ‘stuntman’ di Malaysia kurang dihargai.

“Jadi, bila anugerah seperti ini sudah diadakan oleh pihak penganjur di FFM34 nanti, setidaknya akan memberi semangat kepada pelakon ‘stuntman’ kita untuk buat lebih baik kerana hasil kerja mereka dihargai,” katanya.

Andy berkata, sesiapa yang komited dalam urusan kerja dilakukan kerana minat memang ada impian dalam diri untuk usaha mereka itu berjaya meraih penghargaan.

“Ditambah pula, dalam industri perfileman di Malaysia sekarang sudah banyak filem aksi diterbitkan dan karya itu kebanyakannya berjaya mendapat kutipan ‘box office’ amat membanggakan.

“Terus-terang, saya sangat gembira melihat perkembangan pelakon aksi lagak ngeri tempatan yang ketika ini sudah menunjukkan mutu berkualiti, setanding pemain naskhah antarabangsa,” katanya.

Filem Blood Brothers: Bara Naga yang turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahya dan ramai lagi itu berjaya mencatat kutipan lebih RM76 juta sepanjang tayangan di Malaysia.

Malam kemuncak FFM34 kali ini yang mempertaruhkan 30 kategori bakal berlangsung pada 8 November depan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Andy menjadi pelakon utama filem Abah Saya, Uncle Mike yang mengangkat kisah benar seorang lelaki Cina, Michael Tong Wai Siong yang membesarkan tiga beradik yatim piatu berbangsa Melayu dan beragama Islam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top