Peluang imbas ketulenan barang kemas di PMR 2025 Kelantan

Peluang imbas ketulenan barang kemas di PMR 2025 Kelantan

Kota Bharu: Pemilik barang kemas berpeluang mengimbas kandungan dan ketulenan emas menerusi perkhidmatan mesin pengimbas disediakan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bersempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan.

Eksekutif Kanan Bahagian Perhubungan Korporat SIRIM Mohd Zul Arsham Mohamad berkata mesin itu dapat mengesahkan ketulenan serta berat sebenar emas, dan dibawa khas ke PMR di Kelantan memandangkan sebahagian besar golongan wanita di negeri ini sinonim sebagai pengumpul barang kemas.

“Biasanya, mesin ini hanya disediakan di premis tertentu. Jadi, bagi mereka yang mahu mendapatkan kepastian terhadap emas dibeli, boleh mengunjungi reruai kami sepanjang tiga hari PMR berlangsung.

“Pelanggan juga boleh mengambil gambar hasil analisis dipaparkan pada mesin sebagai rujukan atau untuk tujuan ketelusan jualan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Zul Arsham berkata hasil imbasan juga membolehkan pengguna membuat tuntutan semula kepada premis jualan emas sekiranya berlaku penipuan dari segi berat atau ketulenan.

“Setakat ini, kita dapati barang kemas dijual di Kelantan dan Terengganu mempunyai kandungan emas lebih tinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Fatin Nabila Anuar, 38, berkata perkhidmatan disediakan SIRIM sangat bermanfaat kerana membolehkan wanita membuat pilihan kedai emas yang jujur dalam perniagaan.

“Selepas mengetahui kandungan emas dalam barang kemas dibeli, kita boleh membuat pilihan kedai emas yang tepat dan tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga esok, diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program itu menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top