Peluang julang muzik Borneo

Peluang julang muzik Borneo

georgie@hmetro.com.my

TRIO jelitawan dari Borneo, Marsha Milan, Velvet Aduk dan Alena Murang bakal memahat sejarah tersendiri apabila buat julung kali beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 7 September ini.

Gandingan penyanyi hebat yang menjayakan Konsert Sounds of Borneo. Menyifatkan peluang itu terlalu besar makna buat mereka bertiga secara peribadi. Ini adalah hadiah terindah atas keteguhan mereka memperjuang lagu-lagu dari Sabah dan Sarawak.

Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 39, pencapaian itu cukup berbeza dengan apa yang dia miliki dalam karier seninya sekarang. Memang namanya kukuh dalam arus perdana tapi karya Borneo baginya cukup istimewa di hati.

Beberapa tahun lalu, dia bersama teman baiknya Velvet ambil risiko buat projek lagu rakyat Sabah. Kerja-keras mereka berhasil apabila lagu hit seperti Sumandak Sabah berjaya menakluk pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.

Jadi, apabila dapat membawa karya-karya itu ke pentas arus perdana, sangat menyentuh Marsha secara peribadi. Dia sendiri ingin terus mendidik rakyat Semenanjung mengenai kekayaan budaya Borneo.

“Ini adalah mimpi jadi kenyataan untuk bekerja dengan MPO. Kami semua sangat teruja untuk konsert itu kerana ini adalah perjuangan kami martabatkan budaya sebagai warga Borneo. Ia juga mewakili puncak karier muzik kami.

“Bermula dengan projek suka-suka, apabila melihat ramai yang menyokong karya Borneo kami, kami mahu terus menyumbang. Kami mahu mendidik terutama rakyat di Semenanjung semua aspek kebudayaan kami.

“Pada masa sama, kami sendiri pun mahu terus mendalami budaya sendiri. Masih terlalu banyak yang kami tidak didedahkan. Lagu-lagu rakyat kami hasilkan pun boleh dikira cuma tampilkan permukaan budaya kami saja,” katanya.

Bagi Velvet atau nama sebenarnya Velvet Lawrence Aduk, 37, hakikatnya dia tidak pernah terbayang akan dapat peluang sebesar itu. Apalagi peluang itu adalah untuk meraikan muzik-muzik dari sebelah Borneo.

“Kami selalu hasilkan lagu rakyat Sabah sebagai projek sendiri saja. Jadi, berhasil membawakan ke tahap lebih tinggi dan diiktiraf di pentas begini, agak mendebarkan juga.

“Tapi pada masa sama, kami sangat gembira kerana mampu angkat lagi budaya kami untuk dilihat lebih ramai orang. Terutama buat warga Semenanjung. Memang kami sentiasa nantikan peluang begini.

“Pencapaian ini adalah sangat besar untuk kami semua. Walaupun dalam hati rasa sangat risau untuk beraksi, tapi jemputan itu benar-benar satu penghormatan bermakna,” katanya.

Velvet tidak menafikan terbit rasa gementar kerana pentas DFP bertaraf antarabangsa dan cukup tinggi kelasnya. Menurutnya mereka sendiri teringin melihat kejutan buat diri apabila beraksi di samping MPO kelak.

“Kelainan itu akan lebih kepada susunan muziknya. Ini kerana lagu-lagu kami rata-rata kedengaran sama dengan rentak kebiasaan Sabah dan Sarawak. Bila digabung dengan orkestra sendiri, itulah sebenarnya keistimewaan terbesar nanti.

“Kami membawa lagu-lagu keraian kepada kelas lebih tinggi. Kami pun ternanti untuk kejutkan diri-sendiri juga. Kami pun awal-awal dulu hasilkan lagu kami secara spontan dan mutunya pun terikat dengan bajet terhad.

“Yang buat saya gementar adalah melihat bagaimana kami bergabung sama atas satu pentas dan beraksi secara langsung. Ini kerana kami pun jarang adakan persembahan bersama disebabkan berjauhan,” katanya.

Alena atau nama sebenarnya Alena Ose’ Murang, 35, pula gembira apabila pentas itu menjadi saksi perit jerihnya memperjuangkan instrumen tradisi Sape. Dia sendiri memang ada misi untuk tembus arus perdana.

“Orang di Semenanjung memang nak tahu pasal Sape dan Sarawak. Tapi cabarannya, bagaimana nak bawa keluar penggunaan instrumen itu daripada acara-acara atau tujuan projek berkisar pelancongan semata-mata.

“Biasanya memang untuk iklan dan showcase mengenai topik itu saja. Masih boleh, tapi bagaimana nak komersialkan ia menjadi lagu dalam industri muzik itu sendiri. Ia masih muzik dan boleh dengar hari-hari.

“Saya memang mahu tembusi pasaran arus perdana tanpa mengubah muzik saya. Saya jenis tradisional dan enggan bermain Sape kontemporari. Tapi saya terbuka saja kalau perlu adun dengan aspek seperti genre pop,” katanya.

Alena yang berketurunan Kelabit tahu pasti akan ada kesulitan namun perlahan-lahan menyuntik gabung gabungan. Dia juga bersyukur industri arus perdana semakin terbuka dengan lebih banyak instrumen tradisi sekarang.

Menyatakan keterujaannya beraksi di Sounds of Borneo, dia mendedikasikan pencapaian itu kepada komuniti Sape yang teguh berjuang. Dia tidak sabar merasai sendiri keajaiban di pentas bersama MPO.

“Ini sangat besar maknanya buat komuniti pejuang Sape untuk pergi sejauh ini. Ini kerana, di Sarawak sendiri pun masih ramai yang belum melihat Sape. Mungkin dengar dalam lagu saja selama ini.

“Ada tekanan tapi teruja lebih. Saya percaya orkestra itu akan serikan lagi bunyi Sape itu nanti. Contohnya untuk lagu Gituan pasal bintang, saya bayangkan atmosferanya nanti akan seperti di awang-awangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perniagaan & Pengurusan Hubungan Strategik MPO, Effendy Khalid yakin persembahan Marsha, Velvet, dan Alena bakal tinggalkan impak tersendiri.

“Melodi dan susunan orkestra yang klasik sudah menjadi kepakaran kami. Tapi untuk bawakan asimilasi begini, kami perlu tampil dengan susunan lebih megah m yang akan dipimpin oleh konduktor Luqman Aziz.

“Saya percaya ia akan menjadi sebuah konsert yang hebat. Sudah menjadi impian kami untuk menyediakan platform begini buat semua jenis muzik dari Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top