Peluang keemasan pelatih AMD menyerlah di Bosnia

Peluang keemasan pelatih AMD menyerlah di Bosnia
Pengarah MSN, Jefri Ngadirin (tengah) bersama Muhammad Ilham, Izzuddin Afif Azani, dan Muhammad Iman.

Pengarah MSN, Jefri Ngadirin (tengah) bersama Muhammad Ilham, Izzuddin Afif Azani, dan Muhammad Iman.

TIGA pelatih muda Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diberi peluang keemasan untuk menjalani sesi pemilihan bersama Akademi Kelab FK Sarajevo, sebuah kelab Liga Perdana Bosnia & Herzegovina bermula 5 hingga 26 Julai ini.

Mereka ialah penyerang AMD Bawah 17 (B-17) tahun, Izzuddin Afif Nazaruddin, dan pemain tengah, Muhammad Ilham Azani Mohd Azamin, masing-masing berusia 17 tahun, serta penyerang AMD B-16 tahun, Muhammad Iman Danish Mohd Shukor.

Izzuddin dan Ilham merupakan tonggak utama skuad negara B-17 tahun yang beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2024 di Laos, selain turut mewakili AMD B-17 Tahun dalam Kejohanan Piala Presiden B-20 tahun.

Sementara itu, Iman Danish pula tampil cemerlang bersama skuad kebangsaan B-16 dalam Kejuaraan Siri Remaja FIFA 2025 di Zurich, Switzerland, dan kini menjadi nadi utama jentera serangan AMD dalam kempen Piala Belia B-18.

Menurut kenyataan rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), pemilihan tiga pemain ini bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap keberkesanan program pembangunan AMD, malah mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa bakat muda negara ke peringkat antarabangsa.

“MSN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemilik kelab FK Sarajevo, Ismir Mirvic dan Tan Sri Vincent Tan, atas komitmen serta sokongan berterusan mereka dalam menyediakan platform berprestij buat pelatih terbaik AMD mengetengahkan potensi di pentas global,” kata kenyataan itu.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama erat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertindak sebagai pemegang taruh utama dalam hala tuju pembangunan sukan bola sepak negara.

Kerjasama strategik antara MSN, FAM dan kelab luar negara seperti FK Sarajevo dilihat sebagai landasan penting dalam membuka laluan pemain akar umbi ke tahap profesional, sekali gus meningkatkan nilai pasaran pemain muda tempatan.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain muda negara diserap masuk ke kelab utama Eropah ialah menerusi Luqman Hakim Shamsudin, yang menyertai KV Kortrijk di Belgium pada tahun 2020.

Scroll to Top