Peluang masih terbuka buat Kuching City

Peluang masih terbuka buat Kuching City
Pemain tengah Kuching City, Moses Atede (dua kiri) diasak empat pemain DPMM FC. Foto Kuching City FC

Pemain tengah Kuching City, Moses Atede (dua kiri) diasak empat pemain DPMM FC. Foto Kuching City FC

KUCHING City FC tewas tipis 2-3 kepada kelab Brunei, DPMM FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, namun ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak optimis peluang pasukannya masih terbuka menjelang timbal balik.

The Cats bangkit dengan jaringan Ronald Ngah dan James Okwuosa tetapi pasukan tuan rumah yang mendapat suntikan semangat daripada kepulangan penyerang kebangsaan, Shafiq Ahmad berjaya mempertahankan kelebihan di depan penyokong sendiri.

Aidil menegaskan kekalahan itu bukan noktah buat skuad bimbingannya, sebaliknya satu pengajaran penting untuk tampil lebih mantap di Kuching.

“Kesilapan perlu kami perbaiki. Walaupun mencipta jaringan, ada peluang lain yang terlepas.

“Tetapi 3-2 masih memberi ruang buat kami kerana aksi di laman sendiri bersama sokongan penyokong boleh jadi pemangkin kebangkitan,” katanya.

Jurulatih kelahiran Singapura itu turut mengakui kekuatan DPMM, namun percaya barisan pemainnya mampu lebih bersedia dalam pertemuan akan datang.

Skuad The Cats kini akan memberi tumpuan kepada saingan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuching pada 24 Ogos, sebelum melayan kunjungan DPMM untuk aksi timbal balik Piala FA pada 14 September.

Scroll to Top