Peluang Pang Ron-Su Yin bangkit

Peluang Pang Ron-Su Yin bangkit

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin diharap dapat bangkit semula di Masters Orleans dekat Perancis untuk menebus kegagalan di Terbuka Jerman, minggu lalu.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, Pang Ron-Su Yin sepatutnya mampu mara lebih jauh di Terbuka Jerman, namun mereka gagal memanfaatkan segala peluang terbaik.

Pasangan negara itu tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Jerman selepas tewas kepada pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 17-21, 21-11, 21-16 dalam masa 50 minit.

“Di Terbuka Jerman tak ramai (pemain utama), sepatutnya mereka dapat ambil kesempatan daripada situasi itu.

“Saya harap mereka dapat bangkit semula dan jangan hilang keyakinan lagi di Masters Orleans. Kalau segala-galanya berjalan dengan baik, mereka mampu mara lebih jauh di Masters Orleans,” kata Nova ketika ditemui selepas tamat sesi latihan, hari ini.

Jelas Nova, apa yang mencetuskan kebimbangannya ialah Pang Ron-Su Yin dilihat sering meletakkan tekanan ke atas diri sendiri sehingga menjejaskan rentak permainan mereka di atas gelanggang.

“Ketika sesi latihan pun saya tengok mereka sering tertekan. Sebenarnya tekanan itu datang dari diri mereka sendiri.

“Sebab mereka sentiasa rasa boleh (tewaskan lawan). Apabila terlalu memikirkan kemenangan, mereka akan menjadi tidak selesa dan ia mula menjejaskan emosi mereka,” katanya.

Pan Ron-Siu Yin akan turun beraksi di pusingan pertama esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top