Peluang pelajar SESERI dekati dunia seni

Peluang pelajar SESERI dekati dunia seni

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 344 pelajar tingkatan dua hingga lima Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (SESERI) menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah yang memberi pendedahan mengenai dunia seni sebenar, hari ini.

Program CSR kerjasama TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan rakan kongsi SAFI Shayla, turut membetulkan tanggapan kejayaan sebagai artis hanya bergantung kepada bakat semata-mata, serta dipenuhi pelbagai aktiviti yang penuh warna, keceriaan dan bermanfaat.

Menurut Pengurus Pemasaran Kandungan TV3 dan Tonton, Ali Iskandar Othman, berkata, inisiatif itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung bersama artis, pempengaruh dan personaliti televisyen.

Istimewanya kali ini, pelajar SESERI diberi peluang memahami cabaran dan usaha yang perlu ditempuh untuk berjaya dalam industri hiburan.

“Objektif program ini adalah untuk membolehkan pelajar berinteraksi dengan artis dan faham apa sebenarnya yang diperlukan untuk bergelar anak seni.

“Bukan sekadar bakat, tetapi juga usaha dan disiplin. Kami tidak mahu pelajar tersalah anggap kononnya untuk berjaya, mereka perlu korbankan pelajaran.

“Sebaliknya, kami mahu mereka faham kedua-duanya boleh berjalan seiring,” katanya.

Menurut Ali, pemilihan tetamu jemputan dibuat berdasarkan bakat dan nilai inspirasi yang boleh diberi kepada pelajar.

“Kami pilih artis dan personaliti yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga mempunyai latar belakang yang mampu beri inspirasi.

“Sebagai contoh kumpulan Dukes, mereka aktif dalam muzik tetapi masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Kami juga bawa penyampai berita, pempengaruh, serta kumpulan muzik supaya pelajar dapat lihat dari pelbagai perspektif,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Ali, program yang kini memasuki sekolah ketiga dan terakhir untuk tahun ini mendapat sambutan positif dan pihaknya berharap dapat meneruskannya pada tahun hadapan dengan sokongan penaja.

“Sambutan daripada pihak sekolah amat menggalakkan. Tahun ini kami hanya sempat pergi ke tiga sekolah, termasuk sekolah khusus untuk pelajar perempuan.

“Jika ada penaja, seperti Safi Shayla yang menaja kali ini, kami terbuka untuk kembangkan program ini ke lebih banyak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata, pemilihan sekolah juga dibuat secara teliti dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihaknya mengutamakan sekolah yang tidak terlalu banyak diberi hak istimewa bagi memastikan pendedahan ini dapat disampaikan secara lebih seimbang.

“Kami cuba elak hanya fokus kepada sekolah-sekolah elit. Sasaran kami adalah pelajar yang benar-benar boleh manfaatkan pendedahan ini,” katanya.

Kehadiran selebriti popular, pengacara TV dan pempengaruh seperti Hariz Hamdan, Apich Lo, Dukes, Syafiq Adnan, Amirulhakim Lokman, Risk Saidon, Aizat Saha dan Nisa Kay bukan sahaja memeriahkan acara, malah turut berkongsi perjalanan hidup, cabaran serta pengalaman berharga yang membuka minda dan menyuntik semangat kepada murid.

Dengan kerjasama TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan rakan kongsi SAFI Shayla, Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah dianjurkan dengan matlamat untuk mencetus keyakinan diri, menyemai semangat positif dan memperkasakan murid-murid melalui pelbagai aktiviti menarik yang menggalakkan komunikasi, penerokaan bakat dan pembangunan diri.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Rangkaian Televisyen Media Prima dalam memberi inspirasi dan membentuk masa depan generasi muda di selurTonton Gen+ Suai Kenal Sekolahuh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top