
Juara Sukan Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen dari Belanda antara jaguh dunia yang mengesahkan penyertaan di Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Nilai, Negeri Sembilan. FOTO: Agensi
PEMINAT sukan berbasikal tanah air bakal disajikan aksi bertaraf dunia apabila barisan jaguh elit antarabangsa dijadual turun beraksi pada Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai dari 24 hingga 26 April ini.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada juara Olimpik lima kali dari Belanda, Harrie Lavreysen yang bakal mengetuai senarai pelumba ternama ke Negeri Sembilan.
Turut menghangatkan saingan ialah Nicholas Paul (Trinidad dan Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland) sekali gus menjadikan gelanggang di Nilai pentas pertarungan sengit berkelas dunia.
Kehadiran nama-nama besar ini bukan sahaja meningkatkan prestij kejohanan, malah membuka peluang kepada peminat tempatan menyaksikan sendiri kehebatan pelumba terbaik dunia secara dekat.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sambutan diterima setakat ini amat menggalakkan dengan 46 negara sudah mengesahkan penyertaan.
“Jumlah ini cukup memberangsangkan dan kami menjangkakan lebih ramai pelumba akan turut serta.
“Ini peluang terbaik untuk peminat melihat aksi pelumba bertaraf dunia di depan mata,” katanya.
Setakat ini, seramai 370 pelumba bersama 160 pegawai dijangka memeriahkan kejohanan itu yang kembali dianjurkan di Malaysia selepas kali terakhir pada 2001.
Cabaran negara bakal digalas dua pelumba utama, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang dijangka menjadi sandaran utama memburu kejayaan di laman sendiri.
Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, kejohanan tersebut turut menjadi platform penting dalam perebutan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Justeru, beliau berharap Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing dapat menggandakan latihan untuk kekal cemerlang bertarung di halaman sendiri nanti.



