Barcelona: Marcus Rashford mensia-siakan peluangnya ketika menentang Atlético Madrid apabila gagal memanfaatkan satu demi satu peluang dalam aksi Eropah yang mengecewakan.
Namun pemain England itu akan mendapat satu lagi peluang pada awal pagi Rabu untuk membantu Barcelona mencipta kebangkitan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di ibu negara Sepanyol.
Rashford gagal menemui penyudah ketika Barca tewas 0-2 pada aksi pertama suku akhir, tetapi dia tetap menjadi antara pemain paling menyerlah dalam pasukannya.
Pemain berusia 28 tahun itu, yang dipinjamkan dari Manchester United, kini berdepan tekanan untuk membuktikan dirinya termasuk masa depannya di kelab itu serta peluang untuk kekal dalam skuad England di bawah Thomas Tuchel menjelang Piala Dunia.
Barcelona masih belum membuat keputusan sama ada untuk mengaktifkan klausa €30 juta (RM139 juta) dalam perjanjian pinjaman Rashford bagi menjadikannya pemain tetap di Camp Nou.
Dengan ketiadaan Raphinha akibat kecederaan, Rashford menjadi pilihan utama di sayap kiri.
Dia beberapa kali melepasi pertahanan kanan Atlético, Nahuel Molina tetapi gagal memanfaatkan peluang tersebut.
“Pasukan ini sentiasa akan mencipta peluang, banyak kualiti ketika menguasai bola. Hari ini gol tidak masuk, tetapi kami tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk mengambil peluang itu,” kata Rashford kepada CBS.
“Pada hari lain, pada malam lain, ia akan masuk.”
Pada Sabtu, jurulatih Hansi Flick merehatkan Rashford ketika menang 4-1 ke atas Espanyol dalam La Liga, dipercayai untuk menyimpan tenaganya bagi perlawanan kedua di Stadium Metropolitano.
Rashford dimasukkan pada minit ke-65 dan menjaringkan gol keempat pada minit akhir dengan voli cantik, yang diharap Flick dapat meningkatkan keyakinannya.
“Saya gembira Marcus menjaringkan gol hari ini, ia sangat penting untuk kami,” kata Flick.
Rashford juga pernah menjaringkan gol menentang Atlético di Metropolitano pada 4 April dalam La Liga, menjadikan perlawanan kedua ini sebagai aksi ketiga antara kedua-dua pasukan dalam tempoh kurang dua minggu.
Pemain England itu kini mempunyai enam gol dalam 26 perlawanan La Liga, dengan aspek penyudah masih perlu diperbaiki.
Dalam Liga Juara-Juara, dia menjaringkan lima gol dalam 10 perlawanan dan berpotensi menjadi ancaman utama Barcelona sekali lagi jika corak permainan berulang.
Bakat muda Lamine Yamal dikawal ketat dalam aksi pertama, sekali gus membuka ruang lebih besar untuk Rashford menyerang.
Rashford percaya Barcelona mampu melakukan kebangkitan.
“Mentaliti dan niat kami untuk kembali dalam permainan adalah luar biasa, dan kami perlu gunakan itu pada perlawanan seterusnya,” katanya.
“Kami tahu kemampuan kami apabila bermain pada tahap tertinggi. Kami boleh menguasai mana-mana pasukan.”
Barcelona kecewa selepas tidak diberikan penalti apabila bola terkena tangan pemain pertahanan Atlético, Marc Pubill.
“Bagi saya itu penalti, ia selalu diberikan sebelum ini. Ia jelas penalti,” kata Rashford.
Dari segi taktikal, Flick sebelum ini menekankan keperluan Rashford untuk lebih membantu kerja tanpa bola, terutama dalam tekanan tinggi pasukan.
Sebagai respon, Rashford menunjukkan peningkatan dalam kerja bertahan dalam aksi-aksi terkini, termasuk ketika menentang Espanyol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




