sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sabah FC dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat ketiga berbanding Kuching City dan Terengganu FC.
Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, dengan kelebihan perlawanan selain akan beraksi di tempat sendiri, sudah pasti skuad bimbingan Martin Stano tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan kemenangan.
Malah, Sabah juga mempunyai kesempatan agak baik berbanding Kuching City dan Terengganu yang perlu bertemu pasukan yang lebih kuat berbanding pesaing mereka.
“Saya rasa perebutan hanya antara Kuching City (tempat ketiga) dan Sabah (tempat keempat). Yang pertama Sabah ada tiga perlawanan lagi selain mata mereka pun sama, 36 mata.
“Sabah akan jumpa PDRM dan Perak di tempat sendiri serta Kedah Darul Aman di tempat lawan. Itu adalah peluang untuk mereka menjarakkan kedudukan dengan Kuching City.
“Jadi, itu yang saya kata Sabah ada kelebihan. Saya rasa bila dia menang dengan PDRM 8 April ini dan juga lepas itu dia menang dengan Kedah (12 April), peluang untuk Sabah menduduki tempat tiga itu cerah berbanding dengan pasukan lain,” katanya.
Selain itu, Irfan yakin anak buah Aidil Sharin Sahak pasti akan turun dengan semangat yang tinggi dan meneruskan perjuangan untuk mengekalkan kedudukan tempat ketiga.
“Bagi saya, Kuching City konsisten sebenarnya dan tahun ini dia begitu cemerlang. Kehadiran pemain import boleh dikatakan baik juga terutamanya bahagian tengah, mereka sangat kuat,” katanya.
Persaingan antara ketiga-tiga kelab itu dilihat semakin menarik kerana pasukan yang menamatkan aksi liga di tempat ketiga nanti, kemungkinan besar akan memperoleh tiket ke saingan Piala Shopee musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd