Peluang seimbang juarai Seluruh England – Aaron

Peluang seimbang juarai Seluruh England – Aaron

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia mengakui peluang untuk memenangi kejohanan Seluruh England di Birmingham pada 3 hingga 8 Mac depan sentiasa terbuka kepada mana-mana pasangan beregu dunia termasuk dirinya serta gandingannya, Soh Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik dilihat berada pada prestasi terbaik ketika ini selepas melangkah ke final Terbuka Malaysia dan separuh akhir Terbuka India, sekali gus menjadikan mereka antara pilihan untuk mengintai kejuaraan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu.

“Peluang (juara) itu memang ada kerana dalam saingan beregu lelaki sekarang terbuka untuk sesiapa sahaja. Sebelum Seluruh England, kami akan menjalani aksi pemanas badan pada kejohanan Terbuka Jerman terlebih dahulu.

“Saya rasa memang saingan Seluruh England sentiasa sukar pada setiap tahun. Bukan senang untuk meletakkan sasaran atau nak memastikan aksi konsisten di Eropah kerana kami perlu menyesuaikan diri,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Sementara itu, Aaron mengakui seperti barisan pemain lain, dia serta Wooi Yik turut diberikan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam setiap kejohanan disertai.

Namun katanya, kerja keras di dalam gelanggang adalah perkara lebih penting.

“KPI itu memang sentiasa ada, tidak kira Seluruh England atau apa-apa kejohanan. Bagi saya, KPI itu hanya sebagai petunjuk kerana pemain-pemain pun ada sasaran tersendiri dan kami perlu buat yang terbaik,” katanya.

Aaron-Wooi Yik masih belum dapat merealisasikan hasrat merangkul gelaran pada kejohanan Seluruh England selepas muncul naib juara bagi edisi 2019 dan 2024.

Bekas juara dunia itu tersingkir di pusingan pertama tahun lalu selepas tewas kepada pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top