mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor kini berdepan laluan semakin sukar untuk mempertahankan status naib juara Liga Super dan menempah tiket ke saingan Asia musim depan selepas sekadar seri 1-1 dengan Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah bukan saja perlu memenangi semua baki tiga perlawanan, malah turut mengharapkan pencabar terdekat terutama Kuching City tercicir mata dalam baki saingan mereka.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon mengakui peluang pasukannya kini sangat tipis, lebih-lebih lagi selepas gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh.
Pengendali dari Korea Selatan itu turut memohon maaf kepada penyokong kerana Selangor melepaskan peluang besar dalam perlawanan yang dirasakannya wajar dimenangi.
“Peluang (meraih tempat kedua) sangat tipis. Saya berasa kami sepatutnya menang malam ini dan perlu memenangi baki semua perlawanan yang ada untuk berjuang hingga ke penghujung.
“Namun, kita perlu lihat, pasukan lain juga mempunyai baki perlawanan. Jadi kami menunggu keputusan itu. Kami tidak boleh menyerah kalah hingga ke penghujung. Kami mempunyai baki tiga perlawanan dan akan cuba mendapatkan semua mata,” katanya selepas perlawanan.
Selangor ketika ini kekal di tangga kedua liga dengan 43 mata daripada 21 perlawanan, hanya satu mata di depan Kuala Lumpur City di tempat ketiga dan tiga mata mengatasi Kuching City di tangga keempat yang masih mempunyai lima perlawanan dalam tangan.
Selain kecewa dengan keputusan itu, Pan-gon turut mendakwa Sabah menggunakan pendekatan melambat-lambatkan permainan apabila beberapa pemain lawan kerap mengalami kecederaan sepanjang perlawanan.
“Secara strategi mereka mahu melambat-lambatkan masa. Saya fikir bagi pihak kami, ia kerana kami memberi mereka peluang untuk melakukannya. Jika kami menjaringkan gol awal dan mendahului, mereka tidak boleh berkelakuan seperti itu.
“Orang ramai datang ke sini untuk menonton perlawanan, tetapi mereka ‘membunuh’ masa. Jadi bagi penyokong, sangat mengecewakan untuk perlawanan seperti ini. Namun, kami yang memberi mereka peluang mewujudkan suasana begitu, jadi ia tanggungjawab kami.
“Saya berasa di tempat sendiri kami sepatutnya bermain lebih baik, menjaringkan gol lebih awal dan kemudian kekal mendahului, tetapi kami tidak dapat melakukannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




